HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Yusoff cabar jawapan pembelaan Anwar, dedah butiran kejadian


Bekas staf, Muhammed Yusoff Rawther mencabar kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman serangan seksual yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu tiga tahun lalu.

Yusoff dalam kenyataan pendakwaan mendedahkan butiran yang jelas melibatkan keberadaan Anwar sekitar 3 petang pada 2 October 2018, selepas diarahkan menyerahkan sendiri draf ucapan yang akan disampaikan bekas bosnya itu bagi acara peringatan mengenai Mahatma Gandhi pada malamnya.

Beliau mencabar kenyataan Anwar yang mengatakan ahli keluarganya termasuk anak perempuan dan cucu-cucunya turut berada di banglo tersebut ketika insiden itu didakwa berlaku.

Dalam kenyataan itu juga, Yusoff mendakwa tidak berapa lama selepas masuk ke ruang perpustakaan rumah tersebut, Anwar cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaannya bulan lalu, Anwar menolak semua tuduhan, mengatakan beliau sibuk melayani anak keduanya, Nurul Nuha dan anak-anaknya selain beberapa orang kawannya antara pukul 2 petang dan 6 petang di rumahnya, sejurus selepas tiba dari Port Dickson untuk berkempen sebagai calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson mewakili Pakatan Harapan (PH).

Anwar dicabar Yusoff perlu membuktikan semua dakwaan lain selain daripada kenyataan Anwar yang dijadualkan berada di Port Dickson pada sebelah pagi.

Untuk rekod, Yusoff pertama kali membuat tuduhan terhadap Anwar dalam sebuah akuan bersumpah pada November 2019.

Sebuah laporan polis juga turut dibuat susulan pengakuan tersebut yang kemudian disusuli beberapa minggu siasatan dijalankan Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi jenayah kekerasan dan cabul.

Sepanjang siasatan, polis turut melakukan ujian poligraf terhadap Yusoff selama empat jam di Bukit Aman.

Bagaimanapun Anwar menolak untuk menjalani ujian tersebut.

Anwar dalam pembelaannya, menuduh Yusoff bekerjasama dengan beberapa individu “tidak dikenali” bagi menjatuhkan beliau menjelang peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi perdana menteri.

Yusoff juga mempersoalkan kegagalan Anwar untuk membuat tindakan susulan berhubung ancaman pada Januari 2020 yang mahu membuat saman malu terhadapnya ekoran dakwaan serangan seksual tersebut.

“Defendan mempunyai setiap peluang untuk membawa tindakan saman terhadap plaintif sebelum pemfailan tindakan plantif terhadap defendan, namun defendan takut untuk berbuat demikian dan/atau gagal berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: