HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

PRN Melaka: PKR dikompaun RM10,000, Shamsul desak Khairy jelaskan perihal larangan

Fareez Azman
PRN Melaka: PKR dikompaun RM10,000, Shamsul desak Khairy jelaskan perihal larangan
"Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata," kata Shamsul Iskandar. - Gambar fail
 
AYER KEROH: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perincian larangan perhimpunan sosial berkaitan pilihan raya di Negeri Melaka.
 
Tegasnya, meskipun parti itu menggunakan pendekatan ceramah secara mobil dengan lori dan alat siar raya sejak malam Sabtu, parti itu tetap dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis kerana didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP).
 
"Pendekatan seperti ini tidak ada pertemuan atau perkumpulan yang mungkin dibimbangi wujud kluster dan sebagainya.
 
"Program itu tidak boleh kita takrif majlis sosial, ia program hit and run. Jadi saya kesal sewaktu kami menganjurkan program itu di Taman Krubong Jaya, pasukan polis telah keluarkan kompaun yang mengatakan kesalahan kami ingkar SOP kerana mengadakan kempen pilihan raya," jelasnya.
 
Soal Shamsul, pendekatan yang kreatif telah diguna pakai untuk memastikan tiada penyebaran COVID-19 berlaku, namun masih dikenakan kompaun.
 
"Ini perkara amat dikesali, buat pertama kali Keadilan cuba jadi parti kreatif untuk gunakan pendekatan lebih teliti supaya tidak berlaku kontak fizikal dan sebagainya.
 
"Tetapi polis masih lagi ingin mengeluarkan kompaun atas kesalahan kononnya mengadakan kempen pilihan raya.
 
"Kita nak tegaskan kami diberikan kompaun RM10,000 bagi saya amat tidak munasabah kerana tidak ada kontak fizikal, hanya program mobil bergerak," kata Ketua Penerangan PKR itu lagi.
 
Justeru, beliau mendesak agar Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneliti larangan yang dikenakan itu.
 
Tambahnya, ia bagi memastikan demokrasi di negara ini tidak diperolok-olokkan.
 
"Ini perkara yang amat saya dikesali, saya desak Menteri Kesihatan meneliti dengan lebih tepat apa perinciannya dalam konteks tidak boleh mengadakan majlis sosial dalam tempoh pilihan raya.
 
"Saya akan tulis surat kepada Menteri Kesihatan, saya ingin tegaskan Menteri Dalam Negeri supaya dapat jelaskan kepada anggota di bawah.
 
"Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata," katanya lagi.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.

Tiada ulasan: