HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Majlis Syura Ulama akan putuskan lambang digunakan Pas bertanding PRN Melaka

PAS logo Melaka state election Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto HAZROL ZAINAL,

MELAKA – Majlis Syura Ulama yang bersidang pada Ahad ini akan memutuskan lambang yang akan digunakan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

“Pas mengalu-alukan keputusan (UMNO) untuk kerjasama dengan parti. Keputusan lambang yang akan digunakan oleh Pas bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama yang akan bersidang pada Ahad ini, dan kenyataan akan dikeluarkan selepas mesyuarat.

“Pas ingin tegaskan (bahawa) perlunya elak pertembungan tiga penjuru di Melaka. Gambaran kerjasama dalam Kabinet hari ini perlu diterjemahkan dalam PRN dan (saya) yakin rakyat ingin melihat muafakat ketiga-tiga parti kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan yang diambil Majlis Tertinggi UMNO semalam untuk meneruskan persefahaman dengan Pas bagi menghadapi PRN Melaka, 20 November ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam dipetik sebagai berkata, pendirian UMNO itu selaras ketetapan Perhimpuan Agung parti itu tahun lepas, iaitu antara lain untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk antara dua parti berkenaan.

Ditanya adakah Pas akan segera berbincang dengan UMNO berkaitan kerusi yang akan ditandingi kedua-dua parti, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Menteri Alam Sekitar dan Air hanya berkata: “Insya-Allah”.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – Bernama

Tiada ulasan: