MELAKA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta tidak merisikokan parti dengan meletakkan calon yang bukan menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Ia susulan BN akan mengemukakan calon baharu dan muda bertanding pada PRN itu, selain tidak mengetepikan calon lama jika mereka berkebolehan dan diterima masyarakat setempat.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ghazale Muhamad, berkata sudah pasti setiap parti yang bertanding mahu menang, termasuk juga calon namun ia perlu memenuhi kriteria.
"Setiap kali pilihan raya, kita mengemukakan calon yang boleh menang, tetapi yang boleh menang itu perlu ada kriteria antaranya calon yang diminati dan boleh menang atau 'winnable candidate'.
"Kalau kita terlalu fokus kepada orang muda, takut ia merisikokan parti untuk menang. Saya bukan kata tidak suka yang muda," katanya ketika ditemui.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu turut bersetuju keputusan dibuat Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun perhatian perlu diberikan kepada calon yang akan bertanding.
"Saya setuju dengan presiden, (pemimpin lama) kenalah turun dan beri laluan kepada pelapis.
"Tetapi, calon perlu ada kriteria untuk menang, diminati dan disukai yang perlu menjadi keutamaan," katanya.
Beliau berkata, sekiranya tertakluk calon perlu dalam kalangan orang muda tetapi tiada kriteria, ia akan menyebabkan bukan saja calon yang kalah, malah parti akan turut sama.
"Mereka (calon) yang boleh menang tidak semestinya terdiri orang muda atau tua, kita pilih calon yang boleh menang," katanya.
Sementara itu, Ghazale berkata, beliau akan memberi laluan kepada muka baharu untuk dicalonkan pada PRN jika perkara itu dipersetujui oleh pucuk pimpinan parti.
"Jika parti setuju dengan saya, saya beri laluan kepada orang muda. Kalau ada pelapis berkaliber dan saya kenal pasti berkemampuan, saya bagi laluan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan