HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Oktober 2021

Hasrat 4 bekas ADUN Melaka masih dibincang - Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih belum mencapai kata sepakat mengenai kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka untuk bertanding atas tiket gabungan pakatan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan mengenai kedudukan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, selain tiga ADUN lain iaitu Datuk Norhizam Hassan Baktee, Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datul Nor Azman Hassan masih diteruskan.

"Perbincangan masih diteruskan," katanya kepada media pada pembentangan Belanjawan PH, di Parlimen, di sini hari ini.

Minggu lalu, mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan bagi membincangkan mengenai PRN Melaka termasuk hasrat empat ADUN berkenaan yang dikatakan mahu bertanding atas tiket PH.

Hasrat mereka sebelum ini bagaimanapun ditolak DAP yang tidak mahu menerima Norhizam berikutan bertindak menyokong gabungan politik baharu di Melaka sehingga menyebabkan PH tumbang di negeri itu.

Selain itu, Anwar yang juga Presiden PKR mengakui adalah mustahil untuk mengawal penularan COVID-19 melalui PRN Melaka, 20 November ini.

Beliau berkata, adalah sukar untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan sepanjang proses PRN Melaka nanti walaupun adanya larangan perhimpunan dikuatkuasakan.

"Kita sendiri kalau terpaksa, akan melakukan yang sebaiknya dan mengarahkan jentera PH supaya mematuhi SOP.

"Namun saya ingin tegaskan kerajaan harus memikirkan langkah ini betul-betul dan tidak boleh melepaskan tanggungjawab atas kesilapan kepimpinan UMNO Melaka yang silap memberi nasihat hingga terbubarnya DUN," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November ini.

Namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) PRN dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: