HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Pemuda UMNO kecewa pengeluaran KWSP tiada dalam Bajet 2022

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

ASYRAF WAJDI DUSUKI

PETALING JAYA: Pemuda UMNO kecewa kerana beberapa tuntutan pihaknya sebelum ini termasuk pengeluaran simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) i-Citra RM10,000 secara one-off tidak dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun telah berulang kali perkara itu dibangkitkan menerusi siri pertemuan bersama pemimpin tertinggi negara dan pengurusan KWSP, namun cadangan berkenaan tidak dimasukkan dalam belanjawan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Sejujurnya saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa apabila ada beberapa tuntutan rakyat yang kami perjuangkan tidak dipenuhi walaupun tidak dinafikan terdapat beberapa yang kami perjuangkan, telah ditunaikan kerajaan seperti moratorium tanpa faedah.

“Namun antara menjadi harapan besar majoriti rakyat adalah pengeluaran simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh kerajaan dalam belanjawan. Apakan daya walaupun berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin tertinggi negara dan pengurusan tertinggi KWSP,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan belanjawan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM332.1 bilion bagi 2022.

Walaupun beliau mengumumkan beberapa inisiatif pembaharuan termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) namun tidak menyentuh pengeluaran KWSP seperti dikemukakan beberapa pihak termasuk Pemuda UMNO.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan ‘lepas tangan’ dengan dokumen-dokumen Bajet 2022 dan Laporan Ekonomi serta teks ucapan Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh pihaknya secara bersama.

“Banyak cabaran dan kekangan akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah pemerintah untuk menjayakan belanjawan ini. Andaian ekonomi dan pengenalan cukai serta duti eksais baharu untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.

“Oleh demikian, pandangan, kritikan dan cadangan untuk penambahbaikan Bajet 2022 oleh Pemuda UMNO Malaysia akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli Parlimen. Kami mahu manfaat sebenar daripada belanjawan akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” jelas Asyraf Wajdi.

Tiada ulasan: