KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata, penggunaan nama Timah pada arak sangat mengelirukan dan boleh dibayangkan seperti “meminum” wanita Melayu.
Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) berkata, nama Timah itu sendiri dibayangkan dengan wanita Melayu seperti “Kak Timah”, “Mak Timah” dan “Makcik Timah”.
“Ia merupakan satu perkara tidak bagus untuk wanita sebab dibayangkan Timah itu wanita Melayu seperti ‘Mak Timah’, ‘Makcik Timah’ apabila kita minum wiski itu seolah kita ‘minum’ wanita Melayu,” katanya di Dewan Rakyat ketika mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021.
Ahli Parlimen PKR itu turut mempersoalkan penggunaan lambang Kapten Speedy memakai “kopiah” pada arak jenama itu.
“Tidak adakah gambar Kapten Speedy ini yang memakai topi atau Timah ini tidak boleh kita panggil jenama lain seperti ‘The Mines’ ke apa ke,” soalnya.
Sebelum ini, syarikat pengeluar arak Timah menjelaskan bahawa nama jenama itu merujuk kepada logam timah, bersempena industri perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.
Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan supaya label atau nama Timah pada botol arak berkenaan ditukar kepada Kapten Speedy selepas isu jenama arak buatan Malaysia itu tular di media sosial.
Pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak berkenaan menyerupai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah imej seorang lelaki Islam memakai kopiah.
Warganet turut mempersoalkan ringkasan nama Timah yang dikatakan merujuk kepada puteri Nabi Muhammad, Fatimah.
Sementara itu, Khalid Samad (PH-Shah Alam) berkata, isu arak Timah sengaja dipolitikkan dan disensasikan oleh pihak berkepentingan.
Beliau yakin jika isu itu timbul ketika PH memerintah, parti pembangkang ketika itu akan menimbulkan huru-hara seperti isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Khalid yang juga pemimpin Amanah berkata, semasa kerajaan PH memerintah, isu ICERD juga tidak dapat dibahas dan dibincang dengan tenang kerana diberi tafsiran seperti orang Islam diserang bukan Islam.
Beliau berkata, jika isu Timah berlaku ketika zaman PH, mesti ada pihak menuduh DAP mahu serang umat Islam.
“Tetapi pembangkang masa ini tidak menjadikan isu Timah untuk tujuan menyerang kerajaan masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hanipa Maidin (PH-Sepang) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menerangkan bagaimana jenama arak Timah dibenar untuk dilancarkan.
Beliau mempersoalkan justifikasi kerajaan membenarkannya.
“Adakah kerajaan merasakan jenama arak Timah tidak ada masalah kepada orang Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan