Keputusan berhubung kerjasama dengan Bersatu akan mengambil kira untung rugi sebelum ia dimuktamadkan pada mesyuarat Khamis ini, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata semua keputusan yang diambil perlu menguntungkan parti walaupun majoriti akar umbi parti itu tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, namun masih yakin mampu menang besar di Melaka jika UMNO bertanding solo sekalipun.
“Nampaknya kalau kita letak ukuran 10, sembilan daripadanya tidak mahu Umno bersama dengan Bersatu. Bagaimanapun, itu pandangan secara umum.
“Parti akan ambil pandangan semua dan maklum balas, kita akan teliti, kita buat pengiraan untung ruginya, kalau bersama macam mana, kalau tak bersama macam mana, itu semua diambil kira,” katanya yang dipetik portal Berita Harian, hari ini.
Khamis ini, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan memuktamadkan sama ada bersedia berdepan pertandingan tiga penjuru ataupun bekerjasama dengan parti lain.
Untuk rekod, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas dalam beberapa kenyataan secara terbuka sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan Bersatu, malah berkata “no way” apabila ditanya berhubung sebarang bentuk kerjasama politik di Melaka nanti.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan