TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia pagi ini.
James, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7.05 pagi.
Berita kematian tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
James meninggalkan seorang isteri Puan Sri Corrine Masing dan dua orang anak.
Presiden PRS itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lalu akibat COVID-19.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.
Mendiang memulakan kerjaya politik bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.
Baca artikel berkaitan:
James menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.
Sementara itu, pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Antara terawal Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang menyifatkan pemergian mendiang satu kehilangan besar buat Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan