HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

PRN Melaka: Tuan Ibrahim kata ada berita positif PAS-Bersatu-UMNO?


Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ada perkembangan positif berhubung kerjasama tiga parti – PAS, Bersatu dan UMNO – bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air itu tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan positif yang dimaksudkan, dan sama ada ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti duduk semeja membincangkan kerjasama itu.

Sebaliknya beliau memberitahu perkembangan positif itu menyusul setelah perbincangan ketiga-tiga parti diadakan semalam.

“Ada sedikit berita gembira malam tadi. Kita telah mengadakan mesyuarat bersama… PAS, UMNO dan Bersatu. Insya-Allah, dalam membicarakan persiapan PRN Melaka, nampaknya sekarang PAS dikehendaki oleh semua parti.

“UMNO buat keputusan dia setuju bersama PAS, kita rakamkan ucapan terima kasih kepada UMNO kerana merasai dan perlunya muafakat politik dikekalkan dan pada waktu sama, Bersatu pun nak bersama kita,” katanya berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson yang bersiaran secara langsung di laman Facebook rasmi sayap Pemuda parti itu hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata permuafakatan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti adalah lebih besar berbanding perebutan kerusi selain PAS turut memiliki pengalaman yang panjang dalam arena politik negara.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata parti itu konsisten mengajak UMNO dan Bersatu serta pemegang taruh yang lain untuk menerima prinsip perpaduan.

Beliau juga berkata Pemuda PAS mempunyai peranan besar sebagai ejen keharmonian kaum antara parti.

Menyentuh landskap politik negara, Khairil Nizam berkata pendaftaran automatik pengundi baharu berusia 18 tahun (Undi18) merupakan ‘pencetus perubahan’ terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta individu dan daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun berjumlah 1.2 juta manakala 4.4 juta orang lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, mereka layak mengundi,” katanya.

Tiada ulasan: