HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Anak muda perlu kuasai pentas politik Islam

Oleh SALMAH MAT HUSAIN 


TUMPAT: Golongan anak muda perlu menguasai pentas politik berkaitan Islam dan ketuanan Melayu, di samping tidak mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Tumpat, Mohd Adanan Hassan berkata, anak muda terutamanya golongan mahasiswa perlu memahami situasi politik semasa kerana mereka bakal menjadi pelapis pemimpin pada masa hadapan.

Menurutnya,  mereka mempunyai tanggungjawab besar memandangkan kerajaan meluluskan anak muda usia 18 tahun layak mengundi bagi memilih pemimpin.

“Golongan anak muda perlu sama-sama berperanan untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada pada hari ini termasuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan.

“Sambil kita belajar di institusi pengajian tinggi (IPT), kena faham situasi politik semasa yang berlaku di sekeliling kita.

“Di IPT,  anak muda boleh memahami situasi politik semasa dengan lebih mendalam kerana segala ilmu berkembang dari situ,” katanya pada program, Bual Bicara Siswa DUN Kelaboran secara maya baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian. 

Seramai 250 pelajar mengikuti program berkenaan yang dianjurkan bersama Pemuda, Ameerah DUN Kelaboran dan Ikatan Generasi Tumpat.

Tambah Mohd Adanan yang juga ADUN Kelaboran, golongan pelajar yang meninggalkan kampung halaman kerana menuntut ilmu di merata tempat diingatkan tidak terjebak dengan kumpulan tertentu.

Menurutnya,  pelajar hendak menghindarkan kumpulan yang berjuang menyimpang daripada politik Islam.

Mohd Hushaimi pula mengingatkan agar golongan pelajar tidak termakan fitnah kumpulan antivaksin Covid-19 kerana mereka sekarang semakin terpinggir akibat kesilapan diri sendiri. 

“Kumpulan antivaksin kini semakin mengecil memandangkan lebih 90 peratus rakyat di negara ini sudah divaksinkan,” katanya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: