HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Oktober 2021

Kerajaan PN sokong industri batik negara

Oleh ASLANI M
 

KOTA BHARU: Industri batik di negara ini dijangka berkembang lebih pesat dengan sokongan padu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia.

Tempiasnya akan merancakkan lagi industri tersebut yang sudah lama bertapak di Kelantan dan Terengganu.

Hari ini, buat julung kalinya sebahagian Ahli Parlimen, termasuk menteri dan timbalan menteri memakai baju batik sebagaimana menjadi amalan penjawat awam di Kelantan sejak dahulu lagi.

Sebelum ini, pemakaian baju batik lengan panjang diterima sebulat suara dalam Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 11 Oktober lalu.

Malah, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Nancy Shukri, sebelum ini berkata, langkah itu bertujuan mendukung warisan negara.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Kelantan, Ahmad Fathan Mahmood, berkata usaha kerajaan menggalakkan Ahli Parlimen, memakai batik setiap Khamis perlu diperluaskan ke semua peringkat.

Katanya, pemakaian batik perlu diperluas kepada semua penjawat awam bagi mendukung industri batik negara yang sudah lama bertapak di negara ini.

“Di Kelantan setiap Khamis, penjawat awam kerajaan negeri dan Pusat sudah lama mengamalkan memakai baju batik yang dipertahankan sehingga sekarang,” katanya.

Malah di Kelantan, sebelum ini setiap Khamis pada bulan Ramadan penjawat awam negeri digalak memakai baju Melayu lengkap bersamping. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: