PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengakui sukar untuk menolak tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang terbabit menggulingkan kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali.
Beliau yang juga Presiden PKR berkata, ini kerana trio ADUN Umno dan Bersatu itu mengambil pendirian untuk menyokong dan mengembalikan mandat kepada Pakatan Harapan, berbeza dengan kumpulan yang terbabit dalam Langkah Sheraton yang mengkhianati amanah rakyat.
“Satu dah (selesai)… tinggal tiga, kita masih dalam peringkat akhir sebab kita kena jelaskan juga kedudukan ini.
“Sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu saja seperti diharapkan sesetengah dalam media sosial. Dia sokong untuk kembalikan mandat kita.
“Tetapi saya kurang bersetuju orang longgok mereka sebagai satu kumpulan sama dengan Langkah Sheraton umpamanya yang mengkhianati amanah rakyat, ini mereka nak kembalikan amanah kepada PH. Itu pertimbangan kita,” katanya kepada media selepas penyerahan sumbangan bakul makanan sempena Deepavali di DUN Chuah, Negeri Sembilan.
Tiga ADUN berkenaan dipercayai bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sementara nasib bekas ADUN DAP Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) sudah dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH pada 21 Okt lalu yang memutuskan untuk tidak meletakkan beliau sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, kedudukan tiga ADUN berkenaan sedang dibincangkan bersama pimpinan di Melaka dan pimpinan PH pusat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Persefahaman mereka untuk bersama (PH) dan kemudian mereka ambil keputusan (tarik sokongan) dia dah jangka dia akan dipecat oleh partinya dalam kes ini Umno atau Bersatu.
“Oleh demikian kita nak ketepikan begitu saja tak boleh.
Jadi saya terpaksa bincang bersama pimpinan di Melaka kemudian pimpinan
PH untuk ambil kira hal ini sebelum kita ambil keputusan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan