HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

Sumbangan politik ‘RM2 juta’ masuk poket Ku Nan, kata hakim dalam penghakiman bertentangan

Dakwaan Tengku Adnan yang mengatakan wang terbabit diberikan sebagai 
sumbangan politik dan bukan kepada dirinya juga adalah tidak benar, menurut 
Hakim Mahkamah Rayuan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat dalam perbicaraan kes rasuah Tengku Adnan Mansor bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengambil wang RM2 juta untuk dirinya sendiri kerana tiada bukti menunjukkan sama ada beliau atau syarikatnya menyalurkan wang diterima daripada seorang ahli perniagaan itu kepada Umno sebagai sumbangan politik.

Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais berkata dakwaan Tengku Adnan atau Ku Nan yang mengatakan wang terbabit diberikan sebagai sumbangan politik dan bukan kepada dirinya juga adalah tidak benar.

Hakim itu berkata ini kerana ia tidak pernah dibuktikan menerusi sebarang rekod yang menunjukkan Umno diberikan wang terbabit.

Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Chai Kin Kong menghantar sendiri cek itu secara peribadi kepada Ku Nan, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Wang itu kemudiannya didepositkan ke dalam akaun bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd milik Ku Nan.

“Tidak ada rekod menunjukkan Tadmansori memberikan wang itu kepada Umno selepas menerima cek.

“Perayu mengambil wang terbabit,” kata Abu Bakar dalam penghakiman bertentangannya yang mengesahkan sabitan dan hukuman oleh hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan.

Abu Bakar berkata Ku Nan ketika membela diri berkata beliau menggunakan wangnya sendiri untuk dua PRK yang diadakan pada 2016 itu dan sebab itu beliau tidak perlu membayar wang kepada parti.

Katanya, kenyataan itu “tidak meyakinkan”.

Beliau berkata bukti menunjukkan sekurang-kurangnya dalam lapan keadaan, Umno telah membayar balik wang pendahuluan yang dibuat oleh Ku Nan selepas dia menggunakan wang sendiri.

“Namun dalam kes ini, tidak ada bukti menunjukkan Umno membayarnya untuk RM2 juta yang dikatakan telah digunakannya dalam PRK itu,” katanya dalam penghakiman 20 muka surat dikeluarkan pada Jumaat.

Hakim Suraya Othman dan Ahmad Nasfy Yasin yang merupakan majoriti dalam penghakiman itu membenarkan rayuannya dan membatalkan sabitan terhadap Ku Nan selepas menyatakan wang RM2 juta itu adalah sumbangan politik.

Pihak pendakwaan telah membuat rayuan terhadap pembebasan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 21 Dis tahun lalu, Zaini mensabitkan Ku Nan bersalah menerima wang itu daripada Chai, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, yang diterajui Ku Nan pada masa berkenaan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Tiada ulasan: