Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu kerana Barisan Nasional (BN) belajar daripada pengalaman semasa dipatuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi BN itu yang yakin akan menang besar di Melaka berkata langkah menolak kerjasama dengan Bersatu kerana tidak mahu dimanipulasi dan mendakwa mereka ditikam dari belakang sewaktu kerjasama di Sabah lalu.
“Ada yang mahu mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Ada yang jangka kita akan berprestasi lebih buruk dari Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Namun jika ada pihak yang pernah menikam kita dari belakang dan pernah dipatuk sewaktu di Sabah, kita berazam tidak akan dipatuk di tempat yang sama.
“Kita tidak akan dimanipulasi dan ditunggangi semula. Kita takkan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka,” katanya ketika melancarkan jentera BN hari ini.
Zahid menyifatkan keputusan yang diambil tersebut ekoran suara akar umbi yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, bukan keputusan secara bersendirian.
“Ini suara akar umbi, saya sebagai Pengerusi BN harus akur. Namun, kita tidak perlu mengutuk seteru lawan, kita hanya cerita baik tentang kita, tentang apa yang boleh diberikan kepada pengundi.
“Kita tidak perlu khuatir dengan mereka, mereka bukan musuh kita, kita hanya seteru politik,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, BN akan meletak calon muda dan baharu bagi menghadapi PRN Melaka nanti.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan