Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hampir pasti menjadi milik UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas pelancaran jentera parti tersebut yang gilang gemilang malam ini di PWTC.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai pelancaran jentera malam ini, turut kelihatan sama Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan disamping barisan tertinggi parti tersebut.
Dianggarkan kira-kira 5,000 lebih penyokong dan ahli parti memenuhi setiap penjuru dewan dengan baju rasmi gabungan itu, majoriti kelihatan bersemangat untuk berkempen semasa PRN nanti.
Pelancaran kali ini diadakan di ibu kota Kuala Lumpur dan tidak di Melaka susulan larangan mengadakan sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya di negeri Hang Tuah tersebut baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka juga berada sepentas dengan barisan pemimpin tertinggi gabungan itu.
Untuk rekod, Rauf selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bertindak membubarkan kerajaan dan menyebabkan PRN terpaksa diadakan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berada dalam kem berbeza tidak berada dalam pelancaran jentera malam ini, mungkin sibuk dengan urusan lain tidak dapat bersama dalam perhimpunan.
Untuk rekod, UMNO hanya akan memuktamadkan keputusan sama ada bekerjasama dengan PAS dan Bersatu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu esok.
Zahid berkemungkinan kekal dengan pendirian UMNO bertanding solo tanpa sebarang kerjasama memandangkan berkeyakinan tinggi mampu menang besar dalam PRN nanti.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan