AGENDA DAILY
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menyindir Datuk Seri Najib Razak dengan menyifatkannya sebagai banduan, tetapi bebas bergerak ke mana sahaja disukai, termasuk ke Singapura.
Bekas Perdana Menteri dua kali itu juga berkata rakyat Malaysia tentu berbangga dengan apa yang berlaku apabila ada yang mencuri sepuluh ringgit tetapi terus dimasukkan ke penjara serta-merta.
“Rakyat tentu berbangga. Curi 10-ringgit masuk penjara serta merta. Curi satu billion ringgit boleh lepas dari penjara.
“Ramailah penyangak dan perasuah sekarang bebas menjelajah seluruh dunia sementara hukuman ditangguh atau pertuduhan dibatal.
“Sekali lagi dunia kagum melihat Malaysia, contoh demokrasi yang liberal di mana yang menang kalah, yang kalah menang, yang curi sedikit dipenjara, yang curi bertimbun bebas. Syabas Malaysia,” katanya dalam blog beliau hari ini.
Dr Mahathir berkata Najib telah dihukum penjara dan denda kerana kesalahan pengubahan wang haram tetapi hukuman tidak dilaksanakan kerana beliau membuat rayuan.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata tarikh rayuan Najib ditetapkan pada April lalu, tetapi kes tidak didengar di mahkamah kerana bermacam-macam alasan diberikan.
“Kononnya kerana ia membuat rayuan hukuman tidak dilaksana. Tarikh kes rayuan ialah pada April 2021. Sepanjang masa ia bebas seperti orang yang tidak salah. Kes tidak didengar kerana bermacam alasan.
“Dia boleh hadir ke Dewan walaupun tidak dapat ke mahkamah. Adakala kononnya sakit. Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib. Tetapi keputusan ditangguh. Sudah enam bulan berlalu. Mahkamah belum buat keputusan.
“Sekarang banduan ini dibenar ke Singapura. Peguam Negara tidak bantah,” katanya sambil menambah Najib mengubah tarikh ke Singapura kerana dipilih oleh UMNO sebagai pengurus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, dan permohonan itu juga diluluskan.
“Bilakah Najib akan dapat keputusan Mahkamah Rayuan. Jika didapati bersalah, Najib akan rayu kepada Mahkamah Persekutuan. Ini juga akan ambil masa. PRU ke-15 pun sudah tiba. Najib belum disah oleh Mahkamah Persekutuan yang ia bersalah. Tentu boleh bertanding dalam PRU-15,” katanya.
Isnin lalu, Dr Mahathir melabel Najib sebagai penjenayah pertama VIP Malaysia yang mendapat layanan istimewa, susulan keputusan mahkamah membenarkan permohonannya mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara untuk ke Singapura.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, terhadap Najib setelah didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Bagaimanapun, Najib merayu hukuman itu di Mahkamah Rayuan.
Semalam, tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib meminda tarikh pelepasan dan pemulangan pasportnya buat sementara bagi membolehkannya melawat anaknya, Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua di Singapura bulan depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan