HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

Muafakat bukan sekadar rebut kerusi pilihan raya – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS hari ini mengingatkan parti-parti Melayu bahawa cabaran sedang dihadapi sangat besar sehingga parti itu yang mempunyai pengalaman panjang sanggup mengadakan pelbagai kompromi demi muafakat.

Berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Port Dickson, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara itu menunjukkan jiwa besar parti tersebut.

‘’ Antaranya (Pas) pernah memberi kerusi Kuala Terengganu kepada Parti Negara ditandingi Dato’ Onn Jaafar dan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah semasa menubuhkan Semangat 46,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, perpaduan yang digagaskan Pas dengan menyatu dan mengukuhkan antara parti-parti politik bukan tanda kelemahan parti untuk bergantung kepada orang lain, tetapi kerana muafakat adalah tuntutan Allah SWT.

Katanya,  ia bermakna perpaduan adalah tuntutan prinsip Islam, sekali gus mengingatkan parti rakan untuk tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengannya.

Sambil merujuk tindakan parti rakan Pas yang mengumumkan untuk bertanding melawan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim mengingatkan  muafakat dijalin bukan untuk kerusi pilihan raya sahaja, tetapi agenda lebih besar daripada itu.

“Agenda besar kita ialah bagaimana untuk menyelamatkan negara kita dan dunia daripada kemurkaan Allah SWT.Maka kerana itu Allah letakkan asas al I’tisom billah sebagai syarat penyatuan itu ialah bergantung teguh dengan tali Allah SWT.

“Baru datang ayat wala tafarraqu. Ayat wala tafarraqu datang kedua setelah al I’tisom billah. Maka kerana itu jangan kita terpengaruh dengan agenda yang sengaja setengah-setengah orang mengambil ayat wala tafarraqu saja, jangan berpecah. Tapi penggabungan atau prinsip apa atau dasar apa tidak diletakkan sebagai gagasan,” katanya.

Beliau dalam ucapannya itu turut menyeru pada Pemuda PAS untuk menangani sentimen-sentimen anak muda termasuk sikap anti-establishment yang membimbangkan serta menimbulkan kesenjangan di sebalik cabaran semasa.

“Pertama, sentimen untuk tidak jadi ahli parti. Yang kedua, tak mahu ada ikatan dengan dasar yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik. Yang ketiga sikap 28 peratus anak muda di Universiti sudah bosan dengan politik,” ujarnya.

Beliau turut menyebut beberapa perubahan yang terhasil dari desakan dan tuntutan kehidupan dunia baik di negara ini mahupun bersifat global termasuk isu-isu semakin kompleks zaman ini.

Tiada ulasan: