HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2021

PRN Melaka: Syukur, Umno kekal bersama PAS

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad melahirkan rasa syukur atas keputusan Umno untuk kekal bersama PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Kamaruzaman berkata, tindakan itu selaras dengan ketetapan perhimpunan Agung Umno tahun lalu yang memutuskan untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama.

“Bersyukur atas perkhabaran bahawa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka.

“Semoga persefahaman ini dapat mengelakkan PH berkuasa di negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, Ahli MKT Umno sebulat suara memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi berdepan PRN Melaka.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan MN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.  HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: