HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2021

PRN Melaka: Tiga kerusi DUN sesuai untuk PAS bertanding

Oleh IBNU JANIE


AYER KEROH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N6-Rembia, N7-Gadek dan N9-Durian Tunggal adalah kerusi-kerusi yang sesuai untuk PAS bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka kali ini kerana ia kerusi majoriti Melayu yang kini dikuasai pembangkang.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin, ini memenuhi kaedah asas yang dipersetujui bersama di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ini kerana atas prinsip penyatuan ummah dalam MN dan PN, yang mana PAS tidak mengganggu mana-mana kerusi yang dimenangi oleh Umno dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu. 

“Umpamanya dalam Parlimen Alor Gajah ini daripada lima kerusi DUN, empat daripadanya dimenangi PH, iaitu DUN Durian Tunggal, Rembia, Gadek dan Machap.

“PAS  juga sepatutnya diberi peluang untuk meletakkan calon-calon dalam kerusi-kerusi DUN di Alor Gajah,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily baru-baru ini.

Tambah Syahbudin, melihat akan senario suasana politik kini, PAS sebagai parti berpaksikan Islam dan Melayu maka ketiga-tiga kerusi ini sangat sesuai untuk PAS kerana pengundi Melayu di situ berjumlah lebih 60 peratus.

“Mana-mana kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU14 yang lalu dan mempunyai peratus pengundi Melayu 60 peratus dan ke atas wajar diberi peluang kepada PAS untuk meletakkan calon pada kali ini,” kata beliau.

Beliau juga berpandangan bahawa PAS berpeluang untuk menang di Melaka jika berlaku pertandingan dua penjuru, iaitu tidak berlaku pecah undi dalam kalangan orang Melayu.

Bercakap tentang kriteria calon yang bakal diketengahkan pula, beliau berkata, perkara paling utama yang perlu dititikberatkan ialah integriti. 

“Selain itu calon juga hendaklah mesra rakyat, berpelajaran dan berwibawa di samping juga syarat lain yang ditentukan oleh parti. 

“Sebenarnya kesemua syarat-syarat di atas telah lama disediakan oleh PAS. Dari segi dalaman PAS mempunyai calon-calon yang berintegriti dan berwibawa serta istiqamah terhadap Islam.

“Ini adalah kerana setiap mereka yang menjadi calon PAS akan melalui tapisan yang cukup kuat,” ujarnya.

Mengulas tentang persediaan PAS Kawasan Alor Gajah dalam menggerakkan jentera, Syahbudin berkata, PAS kawasan ini telah menggerakkan jentera pilihan raya di peringkat kawasan dan DUN.

“Markas-markas telah diarahkan agar bersiap siaga, manakala para petugas sedang disusun dan diatur untuk penjadualannya semasa pengundian. 

“PAS juga mempunyai jentera yang mana sedang digerakkan melalui cawangan-cawangan PAS dalam Kawasan Alor Gajah,” katanya lagi.

Beliau sangat berharap agar PAS diberi peluang meletakkan calon dengan pertandingan satu lawan satu iaitu dua penjuru dalam DUN di Parlimen Alor Gajah ini. 

“Kita semua, sama ada Umno, PAS dan Bersatu wajib menyelamatkan Melaka daripada dimenangi oleh PH dalam PRN Melaka kali ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: