HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2021

PRN Melaka: Peluang UMNO untuk tonjol calon muda

MGF22022018_KonvensyenPerdanaWadiraFELCRA12
Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO perlu yakin dengan keputusan pimpinan tertinggi parti yang berusaha memenangkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, PRN itu adalah peluang untuk UMNO membawa perubahan dalam mengimbangi landskap politik lama dengan memperkenalkan calon-calon muda untuk bertanding.

“Saya tidak menolak calon lama yang lebih berpengalaman, kita perlukan kedua-duanya supaya parti dan kerajaan dapat bergerak dengan seimbang dan kompeten.

“Walaupun sukar untuk dilaksanakan kerana pasti akan ada golongan opportunis  dan warlord yang mahu menjadi calon dan golongan muda yang berpotensi akan dipinggirkan atau dicantas.

“Inilah lumrah politik. Ada masa untung, ada masa rugi. Namun, kita berpeluang menambah baik arena politik dengan tawaran serta pendekatan yang lebih universal,” katanya di hantaran Facebook miliknya.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu menambah, golongan muda kini mampu membawa naratif politik baharu yang menjadi tuntutan utama pengundi pada hari ini.

Jelas beliau, budaya ini perlu diubah demi survival parti UMNO dan PRN Melaka adalah ujian UMNO sebelum PRU-15 akan datang yang pasti lebih mencabar dan getir.

“Jika tiga penjuru sekali pun, kita pasti menang jika calon kita itu disukai rakyat, berkredibiliti, bersih, dinamik dan progresif.

“Saya yakin Presiden UMNO, kepimpinan tertinggi di peringkat negeri dan juga bahagian mempunyai kebijaksanaan dalam mencatur strategi demi survival parti dan kesejahteraan rakyat.

“Kita sebagai ahli parti, jagalah rumah kita ini. Bantulah ketua kita dan menangkan calon kita,” katanya.

Najmil Faiz memberitahu, Bersatu eperti biasa akan play-victim dan akan menuduh UMNO dengan pelbagai tomahan kerana kita tidak mahu bergabung di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

“Begitu juga dengan Pas yang tidak mempunyai pendirian tetap, sama ada mahu MN (Muafakat Nasional) atau PN. PAS hendak kedua-duanya. Ini akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: