HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Oktober 2021

Lagi pemimpin Amanah mohon maaf kepada Kamarul Zaman

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

PUTRAJAYA: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Sungai Besar, Ahmad Zhafri Md. Noor membuat permohonan maaf kepada Dr. Kamarul Zaman Yusoff atas kenyataan fitnahnya terhadap ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Ia merupakan permohonan maaf kali kedua pemimpin Amanah kepada Kamarul Zaman atas fitnah yang sebelum ini dibuat Naib Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd. Fitri Asmuni selepas beliau dikenakan saman sivil berhubung fitnah dua artikel ditulis dan disiarkan Mohd. Fitri dalam Facebooknya.

Kali ini, Ahmad Zhafri membuat kenyataan maaf menerusi Facebook beliau hari ini dan mengakui telah menerbitkan di laman sosial beliau itu pada 18, 27 dan 28 April lalu atas tiga kenyataan fitnah berhubung isu bantuan yang diberikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Steven Sim kepada pekerja penghantar makanan.

Beliau mengakui bahawa segala apa yang dikatakan kepada Kamarul Zaman adalah tidak benar, sebaliknya kini menegaskan, Kamarul Zaman tidak mempunyai mentaliti pengalah (loser mentality); tidak memainkan sentimen perkauman; tidak takut orang Cina memberi bantuan kepada orang Melayu dan tidak menuduh orang Cina ada agenda menarik sokongan orang Melayu.

Pada masa sama, beliau turut mengakui Kamarul Zaman tidak berperwatakan rasis dan memalukan; tidak membuat perlakuan bebal di bulan Ramadan; tidak membelanjakan wang untuk memuaskan egonya yang tidak memberikan imej yang baik terhadap Islam.

“Kamarul Zaman tidak bersungguh mencari kelemahan orang lain yang berbeza politik, bangsa dan agama dari beliau dan tidak meniup fitnah yang mengapi-apikan sentimen perkauman.“Kamarul Zaman tidak bersifat jahat dan suka timbulkan ketegangan antara kaum dan agama dan tidak berbohong dan menyebarkan fitnah,” katanya.

Ahmad Zhafri pada masa sama menarik balik segala dakwaan yang dibuat terhadap Kamarul Zaman, memadamkan daripada laman Facebooknya dan berjanji untuk tidak membuat apa-apa tuduhan seumpamanya terhadap beliau pada masa hadapan.

Beliau turut memohon maaf atas kecederaan, kehilangan dan mudarat pada diri Kamarul Zaman secara peribadi dan pada reputasinya dalam kapasiti peribadi dan profesional beliau serta atas kesusahan dan kegelisahan yang dialami ekoran daripadanya.

“Saya sesungguhnya menyesali keterlanjuran saya tersebut dan mengakui membuat status-status tersebut dalam keadaan kekurangan maklumat yang ada di samping terpengaruh dengan bacaan di portal-portal berita dan status-status media sosial yang berkait dengan beliau,” katanya.

Tiada ulasan: