HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

PRN Melaka: Ismail Sabri janji cuba elak pertembungan parti kerajaan


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau sedang berusaha untuk mengelak pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Menurutnya Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah memberi mandat kepada beliau untuk berunding dan berbincang dengan parti lain dalam Kerajaan Persekutuan untuk mengelak pertembungan.

Perdana Menteri berkata ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan dan faedah daripada pertembungan sesama parti dalam kerajaan pada PRN Melaka.

“Memang mereka tunggu sahaja ingin melihat supaya parti kerajaan ini bertembung, mereka yang untung, ibarat antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021, hari ini.

UMNO sebelum ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka, tetapi tidak menyatakan apa-apa kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mengekalkan keputusan Perhimpunan Agung (PAU) 2020 lalu.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dua kali membuat kenyataan menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRN Melaka, namun MT yang bermesyuarat Khamis lalu menghulurkan tangan kepada PAS.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November hari pengundian awal dan 20 November hari pengundian biasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Undi18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Disember dan 1 Januari bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya.

Tiada ulasan: