Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menyalahkan UMNO sebagai punca Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terpaksa diadakan tetapi tidak menyalahkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menjadi punca kerajaan negeri tumbang.
Ketua Pembangkang itu mengakui bimbang dengan ancaman penularan Covid-19 di Melaka semasa PRN dan menunding jari kepada pemimpin UMNO di negeri tersebut yang bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa memikirkan nyawa rakyat.
“Jadi kita jangan lupa pangkalnya ialah kesalahan Ketua Menteri, Speaker dan kerajaan UMNO Melaka yang memaksa satu PRN dengan pembubaran oleh TYT Melaka yang tidak ambil kira tentang faktor keselamatan kesihatan rakyat,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Anwar menyalahkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam kerana menerima nasihat yang tidak tepat sehingga bertindak membubarkan DUN tanpa memikirkan kesan seterusnya.
“kerajaan Perdana Menteri (PM) dan Kabinet dalam hal ini tidak boleh melepaskan tanggungjawab ini dari kesilapan besar yang dilakukan UMNO Melaka yang salah beri nasihat dan tindakan gopoh gapah TYT sendiri telah melakukan pembubaran tanpa memikirkan langkah berikutnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Presiden PKR itu tidak pula menyalahkan empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sehingga jatuh, malah tidak menolak akan mengambil mereka bertanding atas tiket Pakatan Harapan dan masih berbincang berhubung keputusan berhubung empat ADUN tersebut.
“Perbincangan diteruskan,” jawab beliau apabila ditanya berhubung keputusan melibatkan status empat ADUN tersebut.
PRN Melaka diadakan susulan tumbangnya kerajaan negeri pimpinan UMNO setelah empat ADUN, termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hasan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Teluk Mas).
Susulan itu, Ali membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan