HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Oktober 2021

Ku Nan bebas kerana wang RM2 juta terbukti sumbangan politik, kata mahkamah

Mahkamah berkata, Chai Kin Kong yang mendermakan wang itu kepada Tengku 
Adnan Mansor jelas maklum bahawa wang itu adalah untuk digunakan Umno 
dalam dua pilihan raya kecil. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Wang RM2 juta diberikan kepada Tengku Adnan Mansor oleh seorang ahli perniagaan terbukti oleh pembelaan adalah sumbangan politik untuk dua pilihan raya kecil (PRK), seterusnya membawa kepada pembebasannya, kata penghakiman majoriti Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmad Nasfy Yasin berkata, pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa perayu yang lebih mesra digelar Ku Nan, telah menerima wang itu untuk dirinya sendiri daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Chai Kin Kong.

Katanya, salah satu intipati penting yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan adalah bahawa wang itu telah dibayar kepada Ku Nan dan bukan orang atau entiti lain.

“Kami mendapati kesimpulan Hakim (Mahkamah Tinggi) bahawa intipati itu telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah tidak dapat bertahan,” katanya dalam penghakiman sepanjang 41 muka surat yang dikeluarkan semalam.

Pada 16 Julai, Nasfy dan Suraya Othman yang mengetuai panel tiga hakim, membenarkan rayuan itu dan membatalkan sabitan terhadap Ku Nan. Hakim Abu Bakar Jais bagaimanapun memberi penghakiman bertentangan.

Pendakwaan telah mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu, dan dijangka memfailkan petisyen rayuan dalam masa terdekat memandangkan sudah ada penghakiman bertulis.

Nasfy dalam penghakimannya berkata, keputusan majoriti bersetuju dengan hujah peguam bela Tan Hock Chuan bahawa hakim perbicaraan, Mohamad Zaini Mazlan, telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta.

Tan telah berhujah bahawa mahkamah perbicaraan gagal mempertimbangkan bukti dikemukakan empat saksi pendakwaan termasuk Chai, yang menyokong kes pembelaan bahawa wang itu sumbangan politik kepada Umno untuk PRK Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Nasfy berkata, hakim perbicaraan juga tidak mempertimbangkan kegagalan pihak pendakwaan menyoal semula Chai berhubung wang berkenaan.

“Tidak dipertikaikan bahawa Chai adalah saksi utama pendakwaan, dan keseluruhan versi kes itu dibuat berdasarkan keterangannya,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan tidak menyatakan Chai adalah saksi tidak jujur atau tidak benar. Tiada juga usaha untuk mencabar kewibawaannya atau melayannya sebagai saksi belot.

Sementara itu, dalam penghakiman bertentangan, Abu Bakar berkata pendakwaan berjaya membuktikan semua intipati tuduhan dan Zaini bertindak sebetulnya apabila mensabitkan Ku Nan.

Katanya, Ku Nan mengambil wang itu untuk dirinya sendiri malah ia tidak pernah menjadi sumbangan politik. Tambahnya, tiada bukti wang itu dibelanjakan untuk PRK berkenaan.

“Wang itu dihantar kepadanya dan dimasukkan ke akaun bank Tadmansori Holdings Bhd, yang tertuduh mempunyai kepentingan,” katanya.

Pada 21 Dis tahun lalu, Zaini mensabitkan Ku Nan bersalah menerima wang itu daripada Chai, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, yang diterajui Ku Nan pada masa berkenaan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Tiada ulasan: