HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Julai 2008

10 saksi BPR
Oleh FUAD HADINATA YAACOB


BANGI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail antara lebih 10 saksi dalam senarai Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang akan dipanggil minggu depan berhubung kes kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata semua saksi yang dilaporkan dalam kes itu akan dipanggil secara berperingkat-peringkat mulai esok untuk dirakam kenyataan mereka.

“Minggu depan lebih 10 saksi yang dikenal pasti akan dipanggil, termasuk Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan Anwar bagi diambil keterangan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Asas Pegawai BPR (Penguasa dan Penolong Penguasa) dan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) (Penguasa) Siri 1/2008, di sini, semalam.

Ahmad Said berkata, dalam kes berkenaan BPR akan menjalankan siasatan secara adil dan profesional, walaupun ia membabitkan orang kenamaan.

“Kita (BPR) tidak kira siapa (yang didakwa), termasuk orang kenamaan. Jika ada laporan, kita akan siasat dan bertindak secara adil serta profesional.

“Dalam kes ini BPR perlu ambil masa secukupnya kerana kita perlu meneliti pelbagai dokumen, termasuk laporan polis dan fakta perbicaraan kes,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Ahmad Said memberitahu, BPR mengambil alih siasatan laporan polis Anwar yang mendakwa Abdul Gani dan Musa menyembunyikan fakta serta memalsukan maklumat dalam kes membabitkan kecederaannya pada 20 September 1998.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 1 Julai lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa, Abdul Gani dan Musa terbabit dalam kes pemalsuan siasatan beliau dipukul bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, ketika dalam tahanan di Bukit Aman pada 1998.

Ketika itu Musa adalah pegawai penyiasat kes berkenaan, manakala Abdul Gani seorang daripada pendakwa raya terhadap kes salah guna kuasa dan liwat dihadapi Anwar.

Sementara itu, ditanya mengenai dua akuan bersumpah yang dibuat penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mengenai dakwaan mengaitkan pelbagai pihak, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Ahmad Said berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa polis.

“Kes membabitkan Bala (P Balasubramaniam) disiasat polis dan kita hanya berkuasa untuk menyiasat kes salah guna kuasa seperti didakwa (Anwar),” katanya.

Tiada ulasan: