HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Julai 2008

88 pelajar dicekup ponteng sekolah
Sinar Harian


SENTUL - Beberapa buah kafe siber dan restoran di sekitar Bandar Baru Sentul dikesan menjadi ‘port’ pelajar ponteng.

Dalam satu operasi cegah ponteng anjuran Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Zon Sentul dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ,Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan guru disiplin berjaya menahan 88 pelajar sekolah menengah dan 11 sekolah rendah yang ponteng .

Pelajar-pelajar yang ditahan adalah melibatkan 9 buah sekolah menengah dan 6 buah sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur.

Operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 11 pagi turut melibatkan Zon Wangsa Maju itu yang membabitkan penahanan 61 pelajar lagi.

Ketika ditahan pelajar-pelajar tersebut sedang leka bermain permainan video dan dan ada di antaranya juga melepak di beberapa buah restoran dengan memakai uniform sekolah.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPWPKL, Tajudin Mohamad Mor ketika ditemui berkata, kesemua mereka yang ditahan dimaklumkan kepada pihak sekolah sebelum ibu bapa masing-masing dipanggil.

“Mereka (pelajar) menjalani ujian air kencing oleh AADK bagi mengenal pasti sama ada terlibat dalam penyalahgunaan dadah ataupun di sebaliknya,” katanya.

Jelas beliau, hasil daripada ujian air kencing tersebut mendapati salah seorang daripada pelajar terbabit positif dadah.

“Tujuan utama kita melakukan operasi ini berikutan aduan dari masyarakat setempat mengenai pelajar ponteng di persekitaran perumahan terutama di kafe siber yang menjadi tempat tumpuan mereka.

Katanya, melalui soal siasat yang dibuat kebanyakan mereka berpakaian sukan dan menipu ibu bapa kononnya mereka mempunyai kegiatan kokurikulum dan tidak kurang juga yang membawa pakaian tambahan lain.

“Melalui pemeriksaan badan, rokok paling banyak ditemui dan dirampas. Kesemua pelajar ini akan direkodkan dan dikuarantin oleh Jabatan Pelajaran sendiri bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesalahan sama melalui ‘Operasi Ponteng: Jom ke Sekolah’ yang diperkenalkan oleh JPWPKL.

“Kita mahu mengurangkan statistik pelajar ponteng dan tumpuan operasi bukan setakat di Sentul sahaja malahan turut melibatkan beberapa zon lagi di sekitar Wilayah Persekutuan,” ujar Tajudin.

Sementara itu, Pegawai Khas Unit Disiplin JPWPKL, Nadzarudin Kasim berkata masalah kafe siber yang tumbuh bagaikan cendawan menjadi salah satu penyebab kepada pelajar untuk ponteng sekolah.

“Kita amat berharap kepada pihak berkuasa agar kafe-kafe siber ini diperiksa dan dikenakan tindakan tegas jika sekiarnya membenarkan pelajar atau murid bawah umur masuk kerana kita tidak mahu mereka jadi leka dan mengabaikan pelajaran,” katanya.

Tambah beliau, jika salah laku pemilik kafe siber ini tidak dibanteras, ramai lagi pelajar akan ‘rosak’ kerana mereka berkunjung bukan untuk mencari maklumat mengenai pelajaran tetapi bermain permainan video.

Tiada ulasan: