HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Julai 2008

Kontraktor binaan angkat 'bendera putih'


KUALA LUMPUR: Kos pembinaan yang meningkat secara mendadak antara 35 peratus dan 45 peratus boleh menyebabkan kontraktor mengangkat "bendera putih" terhadap projek yang diusahakan.

Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed yang menyedari situasi sedemikian boleh membantutkan industri pembinaan negara telah meminta warga kementeriannya mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi keadaan itu.

Selain itu, katanya, pihak kontraktor juga akan berhadapan dengan kenaikan kos pembinaan dua atau tiga kali ganda lebih tinggi sekiranya projek yang tertangguh dilaksanakan semula dalam setahun atau dua tahun kemudian.

"Bila kos naik secara mendadak antara 35 ke 45 peratus, ini sudah tentu banyak memberi kesan kepada prestasi (industri) kita sebab kontraktor kalau tidak ada pilihan meraka akan angkat bendera putih," katanya.

"Jadi kita pun rasa bertanggungjawab bagaimana kita nak tentukan perkara ini tidak berlaku kerana kita ada peranan untuk menentukan masalah ini tidak timbul, agar industri pembinaan negara mampu menyumbang 5.2 peratus dalam pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Mohd Zin berkata pembekal bahan binaan tempatan harus bersifat patriotik dengan mengutamakan pasaran tempatan dari hanya memikirkan keuntungan dengan menjual bahan binaan ke luar negara yang menawarkan harga yang tinggi.

Beliau berkata permintaan dari kontraktor tempatan harus diberikan keutamaan agar segala perancangan dan pembangunan fizikal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Kita kena ada semangat patriotik yang lebih supaya kita memberi tumpuan kepada permintaan dalaman supaya projek berjalan lancar," katanya.

Mohd Zin berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai dakwaan kontraktor tempatan di Johor yang mengalami kesukaran mendapatkan bekalan bahan binaan akibat sikap pembekal bahan itu di Johor yang lebih tertarik menjualkannya kepada para pelanggan di Singapura yang menawarkan harga yang lebih tinggi.

"Saya akan semak perkara ini dan kalau ada asas kebenaran ini, kita akan berbincang dengan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna supaya satu langkah berjadual diambil bagi menangani masalah ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Zin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua kontraktor yang terlibat dengan projek RMK9 di kementeriannya esok bagi memastikan semua projek yang dirancang berjalan dengan lancar.

"Pertemuan itu juga bagi mencari jalan untuk mengatasi bebanan yang dihadapi para kontraktor akibat kenaikan mendadak harga bahan binaan,ekoran kenaikan harga minyak," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mendapat persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk mengadakan kajian mengenai perbezaan harga bahan binaan utama iaitu besi keluli dan simen. BERNAMA

Tiada ulasan: