MB Selangor hadap Sultan Rabu ini bincang bantahan NGO
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Rabu depan bagi membincangkan memorandum kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan kelemahan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam hal ehwal Islam.
Abdul Khalid berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau untuk menghadap Sultan setiap Rabu bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan pentadbiran negeri, tetapi agenda pertemuan pada Rabu ini dijangka lebih serius apabila memorandum bantahan itu akan turut dibincangkan.
"Saya sudah pasti akan mendengar bantahan itu dan Sultan juga sudah memaklumkan kepada saya bahawa baginda akan meneliti memorandum bantahan itu. Baginda sudah pasti ingin menyampaikan pandangan baginda berkenaan perkara itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi penggal 2008/09 di sini hari ini.
Abdul Khalid mengulas tindakan 200 anggota pelbagai NGO menyerahkan memorandum berkenaan kepada Pegawai Pengiring Sultan, Komander Ahmad Ramli Kardi, di Istana Bukit Kayangan di sini, Khamis lepas.
Jurucakap mereka, Datuk Abdul Abdul Rahman Palil berkata, antara bantahan dalam memorandum itu ialah mengenai penyalahgunaan masjid sebagai medan berpolitik selain kewujudan semakin ramai penceramah dan khatib tidak bertauliah.
Abdul Khalid menyifatkan penyerahan memorandum itu sebagai permainan politik Umno bagi memastikan anggotanya kekal sebagai Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK).
"Konsep mengimarahkan masjid sebenarnya bertujuan memperbanyakkan aktiviti untuk masyarakat Islam sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, tindakan kerajaan negeri menggantikan AJK masjid dan surau adalah bagi mengurangkan campur tangan politik.
"Kita harus ingat, Sultan Selangor dalam setiap titah baginda sentiasa menegaskan supaya jangan politikkan masjid dan baginda konsisten dalam menyatakan pandangan baginda.
"Saya terima itu (bantahan) tapi jangan politikkan masjid maknanya kita mesti masukkan lebih banyak ahli baru, bukan macam dulu..." katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan