HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Julai 2008

Minyak: Anwar ulangi sedia berdebat, prosedur diatur
Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi kesediaan untuk berdebat dengan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini berhubung isu kenaikan harga minyak.

"Saya keberatan ikut serta dalam debat tersebut kerana hanya melibatkan Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek. Saya telah mencadangkan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak atau kedua-duanya menyertai debat tersebut.

"Bagaimanapun jika mereka keberatan, insha-Allah saya bersedia. Saya perlu menjelaskan kaedah pelaksanaan cadangan Pakatan Rakyat menurunkan harga minyak," kata beliau dalam blognya hari ini.

Ketika berucap pada Perhimpunan Protes Sampai Turun Harga Minyak 2008 di Kelana Jaya malam tadi, Anwar berkata, walaupun tidak berpuas hati kerana permintaannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengenai harga minyak tidak dipenuhi, Anwar berkata, debat dengan Menteri Penerangan Datuk
Ahmad Shabery Cheek yang dijadualkan 15 Julai ini juga memadai.

"Lebih baik debat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, separuh Kabinet pun boleh. Ini bukan masalah politik biasa tetapi ini masalah rakyat yang membebankan. Biar dengar betul-betul," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu.

Sehubungan itu, kata Anwar, beliau telah meminta Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution telah diminta merundingkan prosedur forum debat tersebut.

Pada Jumaat lalu, Ahmad Shabery telah menasihatkan Anwar supaya menggunakan forum debat pada 15 Julai ini dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pendapat dan pandangan beliau mengenai isu minyak, bukannya mengadakan perhimpunan umum.

Kata beliau, Anwar harus mengambil kesempatan daripada kesediaan beliau untuk berdebat mengenai isu minyak supaya rakyat dapat menilai perkara itu.

Tiada ulasan: