HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 Julai 2008

Salahuddin tidak setuju Anwar bersumpah
SA'ODAH ELIAS


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menolak cadangan beberapa Mufti agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah mubahalah kerana katanya beban membuktikan kesalahan terletak kepada orang yang menuduh, bukan yang tertuduh.

Selain itu, katanya, cadangan itu tiada merit memandangkan kes berkenaan sedang dalam siasatan polis.

"Mubahalah ini, bebannya ialah kepada yang menuduh, bukan yang dituduh, jadi soalnya sekarang perkara ini dalam siasatan polis, biarlah ia diselesaikan polis.

"Jika tidak boleh kerana kerenah birokrasi atau perkara-perkara tertentu, hendaklah ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyelesaikannya," kata beliau di lobi Parlimen.

Beberapa Mufti minggu lalu telah mengemukakan cadangan agar penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mengangkat sumpah mubahalah bagi membuktikan beliau tidak bersalah terhadap tuduhan liwat yang dibuat terhadapnya oleh bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan baru-baru ini.

Sementara itu, Saiful, di dalam posting terbarunya yang dibuat melalui blog tunangnya Janna Mohd Zaki turut mencabar Anwar untuk berbuat demikian di samping menyatakan kesanggupannya untuk bersumpah mengikut cara Islam itu pada bila-bila masa.

Mengenai kenyataan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menimbulkan kemarahan ramai minggu lalu, Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata pihaknya tidak sekali-kali akan bersetuju dengan campurtangan Amerika Syarikat dalam menyelesaikan isu itu.

"Kita tidak izinkan mana juga kuasa asing masuk campur urusan kita. Kalau sistem perundangan kita lemah biar rakyat buat ketentuan dan penyelesaian melalui Suruhanjaya Diraja, bukan kuasa asing," tegasnya.

Katanya, penubuhan Suruhanjaya Diraja juga dapat menyekat penyalahgunaan perakuan bersumpah seperti yang berlaku melibatkan seorang penyiasat peribadi Jumaat lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama Pas dengan PKR masih kukuh dan sama ada tuduhan terhadap Anwar itu benar atau tidak, adalah isu yang akan dihadapi parti itu di masa akan datang apabila kes berkenaan selesai.

Mengenai rasa tidak puas hati beberapa pemimpin Pas negeri terhadap tindakan penyanyi sebuah kumpulan rock yang menanggalkan seluarnya dalam persembahan mereka di perhimpunan membantah kenaikan harga minyak yang dianjurkan parti-parti pembangkang pada hari Ahad Salahuddin berkata:

"Sebenarnya semua pihak pun bantah, bukan Pas sahaja. Tetapi hanya itu sahaja insiden yang mencemar perhimpunan itu. Kita akan bermesyuarat bagi melihat di mana silapnya dan memastikan ia tidak berlaku di perhimpunan akan datang."

Tiada ulasan: