HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 Julai 2008

Selamatkah anak-anak kita?
mstar online


SEDIKIT masa lalu, negara digemparkan oleh beberapa kejadian kehilangan kanak-kanak.

Kes-kes yang melibatkan adik Nurin Jazlin, Sharlinie dan Asmawi telah mendapat liputan di dada-dada akhbar dan media elektronik, bahkan turut disertai oleh pelbagai kempen dan tindakan masyarakat untuk mencari dan berusaha menyelamatkan mereka.

Meskipun isu tersebut lama-kelamaan semakin pudar daripada perhatian masyarakat, dan seolah-olah telah dilupakan, namun beberapa persoalan asas terhadap hak perlindungan dan keselamatan diri kanak-kanak masih menunggu penjelasan dan tindakan oleh semua.

Sehubungan itu, usaha Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) dalam menganjurkan bengkel mengenai Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-Kanak baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha mendidik masyarakat berkaitan persoalan keselamatan kanak-kanak.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah Sejauh manakah kanak-kanak di negara ini dilindungi oleh undang-undang?

Undang-undang mengenai perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia telah digubal seawal tahun 1947 melalui Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda, Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan Akta Perlindungan Kanak-Kanak pada 1991.

Saling menuding jari

Bagaimanapun, menyedari hakikat bahawa terdapat keperluan untuk mengubah hala tuju faham perlindungan terhadap kanak-kanak dan mengakui bahawa perlunya pembaharuan di dalam undang-undang sejajar dengan perkembangan semasa, maka satu akta yang khusus dan menyeluruh mengenai kanak-kanak telah digubal dan diluluskan iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (disebut Akta 611) dan telah berkuatkuasa mulai 1 Ogos 2002.

Tujuan utama Akta 611 adalah untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

Antara perkara penting yang diketengahkan oleh Akta 611 adalah tugas dan tanggungjawab ibu bapa atau penjaga dalam memelihara kesejahteraan kanak-kanak, tanggungjawab untuk memaklumkan kes-kes penderaan kanak-kanak, penubuhan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, cara perbicaraan dan hukuman.

Persoalan kedua yang sering dibangkitkan adalah, Apakah Akta Kanak-Kanak 2001 ini akan berkesan, tanpa tindakan dan penguatkuasaan daripada pihak berwajib?

Apabila berlaku sesuatu kejadian yang melibatkan kanak-kanak, seringkali juga akan diikuti dengan adegan saling menuding jari di antara pelbagai pihak yang terlibat.

Dibiar bermain

Ibu bapa akan menuding jari kepada pihak polis dan agensi kerajaan, lantaran kurangnya unsur pengawasan keselamatan di dalam kehidupan moden kini.

Pihak polis pula akan menyebut mengenai longgarnya ikatan kemasyarakatan yang membenarkan para penjenayah dan penjahat berleluasa mengancam kanak-kanak, tanpa pembelaan daripada golongan dewasa.

Begitu juga pelbagai pandangan daripada pihak PIBG, guru, NGO dan ibu bapa sendiri, yang kadangkala tidak menemui penyelesaian yang utuh kepada soal keselamatan kanak-kanak ini.

Sekiranya kita berpeluang bersiarsiar di taman permainan atau riadah, kita mungkin terserempak dengan kanak-kanak yang dibiarkan bermain dan berjalanjalan tanpa pengawasan rapi daripada ibu bapa.

Membiarkan anak-anak berkeliaran tanpa kawalan dan pemantauan orang dewasa, sebenarnya mendedahkan mereka kepada pelbagai kemungkinan ancaman dan gangguan yang mungkin timbul.

Kealpaan dan kelalaian

Begitu juga sikap segelintir ibu bapa yang kadangkala terlalu sibuk membeli-belah di kompleks perniagaan, sehingga anak-anak mereka hilang daripada pandangan dan perhatian.

Kita mungkin pernah mendengar pengumuman oleh pihak pengurusan pasaraya atau kompleks perniagaan, yang menemui kanak-kanak hilang atau terbiar dan meminta ibu bapa mereka mengambil anak tersebut di kaunter khidmat pelanggan.

Jika inilah sikap sebahagian ibu bapa, ianya menggambarkan kealpaan dan kelalaian yang terlampau daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu disedarkan bahawa anak-anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT.

Sebagai amanah, mereka perlu diberi hak yang sewajarnya, seperti hak penjagaan, makan minum, pakaian, kasih sayang, keperluan hidup, jaminan keselamatan, pendidikan dan pengembangan potensi sebagai manusia.

Keselamatan di sekolah

Apakah para ibu bapa memahami semua perkara tersebut, khususnya di kalangan ibu bapa muda?

Soal keselamatan kanak-kanak di sekolah dan pusat jagaan juga tidak kurang menjadi persoalan dan dibahaskan. Terdapat kecenderungan sesetengah ibu bapa untuk meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada pihak sekolah dan guru.

Sikap melepas tangan ibu bapa ini seringkali menjadi punca ketegangan hubungan antara ibu bapa dan guru-guru.

Para guru yang sedia terbeban dengan tugas mengajar dan mendidik murid, kini dituntut untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di sekolah pula.

Sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan atau kejadian yang tidak diingini di sekolah, para guru berdepan dengan risiko diambil tindakan oleh ibu bapa. Semua ini menambahkan tekanan kepada golongan pendidik.

Oleh itu, jalan tengah untuk memahami isu keselamatan kanak-kanak di sekolah perlu diambil segera. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu memainkan peranan sebagai jambatan yang menyediakan kesinambungan usaha menjaga keselamatan kanak-kanak, daripada rumah hinggalah ke sekolah dan sebaliknya.

Justeru, penglibatan ibu bapa di dalam kegiatan PIBG dan acara-acara sekolah yang memungkinkan pergaulan lebih baik sesama anggota PIBG perlu diberi perhatian.

Kesedaran umum

Soal keselamatan kanak-kanak tidak seharusnya hanya menjadi perhatian ibu bapa, guru dan pihak sekolah sahaja, kerana kehidupan kanak-kanak di luar rumah dan sekolah memerlukan tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.

Kemunculan kesedaran umum terhadap isu keselamatan kanak-kanak, terutama selepas kes adik Nurin dan Sharlinie adalah sedikit membanggakan.

Kemunculan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sokongan, yang melakukan kempen dan usaha mencari serta membantu keluarga mangsa perlu diteruskan bahkan diperkasakan.

Kita tidak mahu usaha ini hanyalah bersifat hangat-hangat tahi ayam dan akan sejuk kembali dengan berlalunya masa.

Gerak kerja NGO dan kumpulan masyarakat ini perlu diselaraskan dan dijadikan agenda utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Semua golongan masyarakat bahkan setiap individu yang hidup bermasyarakat perlu digembeleng untuk mengangkat isu keselamatan kanak-kanak ini.

Kita tidak mahu lagi tragedi ngeri yang menimpa adik Nurin dan Sharlinie (hingga kini masih tiada khabar berita?), menimpa kanak-kanak yang lain pula. Justeru, usaha berterusan untuk peningkatan kesedaran ini adalah sesuatu yang mulia. BERNAMA

Tiada ulasan: