Tata etika Umno diedar, mesyuarat 20,000 cawangan mula 17 Julai
Oleh SA'ODAH ELIAS
PETALING JAYA: Tata etika pemilihan Umno yang baru, yang menjelaskan secara lebih terperinci perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ahli sepanjang tempoh enam bulan menjelang dan selepas pemilihan semua peringkat parti telah pun mula berkuat kuasa.
Ini bermakna, ahli yang gagal mematuhi peruntukan yang ditetapkan dalam tata etika termasuk mengkritik pemimpin dan keputusan parti secara terbuka melalui sebarang wadah ketika berkempen untuk dirinya atau bagi pihak orang lain sepanjang tempoh itu, boleh diheret ke Lembaga Disiplin untuk diambil tindakan.
Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam proses menjelajah seluruh negara untuk memberi penjelasan mengenai tata etika itu berkata adalah sangat perlu bagi semua ahli mematuhi peraturan itu bagi memastikan pemilihan yang demokratik dan teratur.
Katanya, berkempen secara terbuka dibenarkan, tetapi perlu dilakukan dengan tersusun mengikut peruntukan tata etika itu bagi menjaga imej parti agar tidak tercemar dengan perbuatan-perbuatan yang kurang sihat.
Salinan buku tata etika 16 mukasurat itu telah pun diedarkan ibu pejabat Umno sebagai persediaan menjelang tempoh bermesyuarat selama lima minggu bagi lebih 20,000 cawangan parti itu bermula 17 Julai ini.
Selain tata cara berkempen, ia juga memperincikan apa yang dimaksudkan sebagai kesetiaan kepada parti dengan memberikan contoh-contoh perbuatan yang patut dielakkan. Ini termasuk menjaga rahsia parti dan memelihara nama baik dan maruah parti.
Di bawah tajuk setia kepada parti itu, ahli dilarang mengkritik pemimpin parti tanpa melalui saluran yang betul, mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan parti di dalam media sama ada cetak atau elektronik, mempersoalkan keputusan Lembaga Disiplin Parti dan membawa hal ehwal parti ke mahkamah.
Perbuatan lain yang dilarang ialah menerima atau menawarkan rasuah politik bagi mendorong seseorang memilih atau menolak calon tertentu.
Yang dikategorikan sebagai rasuah politik ialah pemberian atau penerimaan hadiah selain wang ringgit termasuk tambang percuma, kemudahan perjalanan, perkhidmatan, saham, konsesi, kontrak, hiburan dan gelaran serta anugerah kebesaran.
Sebelum ini timbul kekeliruan mengenai halangan mengadakan atau menghadiri majlis keraian sepanjang tempoh tata etika itu berkuatkuasa seperti kenduri kahwin atau tahlil, tetapi ini telah diperjelaskan oleh Muhyiddin.
Buku tata etika itu secara jelas mengingatkan bahawa yang dihalang ialah penyalahgunaan majlis serupa itu untuk dijadikan platform berkempen seperti memberi ucapan bagi pihak sendiri atau pihak calon lain dalam semua peringkat pemilihan parti.
Turut dihalang ialah perbuatan menggunakan internet untuk berkempen dan ini termasuk menyiarkan sebarang bentuk penulisan bagi menyokong, memfitnah, mencela atau yang mengandungi kenyataan palsu terhadap mana-mana ahli.
Tata etika yang baru ini juga menetapkan bahawa apabila seseorang ejen, pengurus kempen atau perayu undi didapati bersalah melanggar mana-mana peruntukan disiplin parti, pihak prinsipal yang melantik mereka juga boleh dihukum oleh Lembaga Disiplin atas kesalahan serupa.
Begitu juga apabila seseorang pengadu menarik balik aduannya sedangkan aduannya itu memang mempunyai bukti jelas, atau seseorang yang memberi keterangan dalam prosiding Lembaga Disiplin menarik balik kenyataannya walaupun ia telah dibuktikan benar, mereka dianggap berbuat demikian kerana menerima atau dijanjikan imbuhan oleh pihak yang tertuduh dan boleh dihukum mengikut peruntukan disiplin parti.
Mesyuarat 191 bahagian Umno akan bermula selama sebulan bermula 9 Oktober sementara pemilihan peringkat tertinggi parti akan diadakan dari 16 hingga 20 Disember depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan