Undang-undang Islam boleh main peranan di England, Wales
Oleh AFP
LONDON: Ketua hakim bagi England and Wales kelmarin berkata undang-undang Islam, Syariah, boleh memainkan peranan dalam sistem perundangan di dua negara itu.
Ketua Hakim Nicholas Phillips membuat kenyataan itu selepas ketua gereja Anglican sedunia, Ketua Biskop Canterbury, Rowan Williams, mencetus kegemparan Februari lalu apabila beliau berkata Britain mungkin menerap sebahagian daripada Syariah.
'Tidak ada sebab kenapa Syariah, atau kanun agama lain, tidak boleh menjadi asas bagi pengantaraan atau menjadi alternatif dalam menghuraikan sesuatu pertikaian,' kata Hakim Phillips dalam satu ucapan di Pusat Islam London Timur.
Bagaimanapun, sebarang kelulusan untuk tidak mematuhi syarat pengantaraan biasa hendaklah didasarkan pada undang-undang England dan Wales, kata beliau.
Pada masa ini terdapat sekitar 12 mahkamah syariah di Britain yang digunakan, tetapi tanpa status sah, terutamanya untuk menyelesaikan pertikaian keluarga di kalangan 1.6 juta umat Islam di Britain.
Hakim Phillips berkata tidak akan berlaku hukuman seperti sebat atau rejam sampai mati.
'Namun, mereka yang tinggal di negeri ini tertakluk di bawah undang-undang England dan Wales dan pengadilan oleh mahkamah England dan Wales,' katanya.
Biskop Williams menghadapi gesaan agar meletak jawatan selepas beliau berkata penerapan sebahagian hukum Syariah sejajar dengan sistem perundangan sedia ada 'nampaknya tidak dapat dielak' dalam sesetengah keadaan.
Hakim Phillips mempertahan Biskop Williams berhubung isu itu, dan menegaskan bahawa kenyataan beliau 'tidak begitu radikal' serta berkata sistem sekarang 'akan berusaha menerapkan saranan Ketua Biskop itu'.
Bagaimanapun pejabat Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, menegaskan: 'Kami rasa undang-undang Britain harus didasarkan pada nilai-nilai Britain dan diputuskan oleh Parlimen Britain.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan