HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 September 2008

27,000 jemaah Malaysia tunai haji tahun ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seramai 27,000 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, kini terdapat senarai menunggu yang panjang di kalangan rakyat Malaysia yang telah mendaftar untuk menunaikan haji.

"Keutamaan diberi kepada mereka yang tua dan yang berdaftar lebih awal," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media dan kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH) di ibu pejabat lembaga itu di sini, hari ini.

Menteri itu berkata, bakal-bakal haji terus diberi jaminan tentang keselamatan mereka sepanjang menunaikan Rukun Islam kelima itu di Tanah Suci Mekah.

"Mengambil kira pengajaran yang lepas, kita sediakan lebih ramai doktor termasuk enam doktor pakar dari kerajaan Arab Saudi untuk ditempatkan di setiap maktab (penempatan) jemaah haji Malaysia termasuk doktor pakar mengiringi jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina," katanya.

Katanya, kumpulan jemaah pertama akan berlepas pada 30 Oktober ini dan mereka dijangka pulang ke tanah air pada 21 Disember, manakala jemaah terakhir pula dijangka pulang pada 14 Januari tahun depan.

Mengenai program tahunan Ihya Ramadan Tabung Haji, beliau berkata, sejumlah RM1.84 juta diperuntukkan untuk diagih kepada lebih 3,000 penerima di seluruh negara.

Terdahulu, TH melalui anak syarikatnya TH Plantation Bhd menyumbangkan sebanyak 22,000 naskah al-Quran yang dihadiahkan kepada pekerja ladang PT.TH Indo Plantation di Riau serta masjidmasjid sekitar Riau dan Batam, Indonesia.

Seramai 100 orang dari Selangor dan Wilayah Persekutuan menerima sumbangan berupa wang tunai dari Tabung Haji dan hamper barangan keperluan harian tajaan TH Properties Sdn Bhd.

Tiada ulasan: