HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 September 2008

Kawasan mudah banjir, kerajaan digesa bantu segera

Mohd Sabri


BUKIT MERTAJAM -Kerajaan Pusat dikehendaki memperuntukkan segera bantuan kepada mana-mana kawasan yang mudah dinaiki air sehingga menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat kata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya lagi, bantuan itu wajar selaras dengan janji Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tetap membantu Kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri terutamanya Pulau Pinang iaitu negeri kelahirannya.

"Inilah masa terbaik untuk Kerajaan Persekutuan mengotakan janjinya tetap membantu negeri yang dimenangi pembangkang. Masalah banjir kilat bukan sehari dua ini berlaku malahan sudah puluhan tahun ia masih tidak diatasi, " terangnya yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Kata Wan Azizah lagi, kemelut penduduk terutamanya di kawasan Parlimen Permatang Pauh seperti Jalan Baru, Perai dan Permatang Rawa ialah jalan air untuk ke sungai besar sudah mengencil berbanding dulu ekoran pembangunan Bandar Perda di era kepimpinan Dato' Seri Dr Ibrahim Saad selaku Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dua batang sungai di kampung berkenaan perlu dikorek, dilebarkan kembali dan diletakkan kok 'U' supaya tanah tidak runtuh ke sungai semula.

Halangan sampah sarap juga menjadi salah satu faktor kenapa saliran sungai tidak sekata dan melimpahi tebing.

"Jika saya dapat peruntukan parlimen sejak memenanginya pada tahun 1999 saya akan berikan untuk baik pulih dua tempat yang sering ditenggelami air di Jalan Baru dan Kampung Permatang Rawa. Ini tidak, peruntukan untuk pembangkang terus diabaikan, " katanya.

Beliau berpendapat kenyataan Abdullah yang akan tetap membantu negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat hanyalah kata-kata yang diluahkan sewaktu tersepit.

Kata-kata lunak itu bermatlamat memancing pengaruh Barisan Nasional (BN) yang dilihat semakin mundur dan hilang taring.

"Jangan terus jadikan penduduk sebagai umpan tetapi sebaliknya berikanlah mereka merasai keseronokan hidup tidak mengharungi air separas pinggang sebaik sahaja hujan lebat selama sejam, " tegasnya.

Dr Wan Azizah sebelum itu, memberikan sekotak buah kurma dan bubur lambuk sebagai hidang berbuka puasa kepada 100 orang penduduk di Permatang Rawa yang masih belum boleh memasuki rumah kerana banjir belum suruh sepenuhnya.

Beliau diiringi anaknya, Nurul Nuha, Ketua Wanita KeADILan Bahagian Permatang Pauh, Hajah Khatijah Yahya dan Timbalan Ketua Bahagian KeADILan Permatang Pauh, Che Mat Hashim. - mks._

Tiada ulasan: