HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 September 2008

Majlis Peguam mahu Raja Petra dibebas

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Majlis Peguam terkejut dan prihatin dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaruddin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negari (ISA) dan mahu beliau dibebaskan segera.

Presidennya, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata ISA tidak sepatutnya dilaksanakan di bawah sebarang keadaan sekali pun.

Majlis Peguam turut prihatin bahawa tiga akhbar telah diberi surat tunjuk sebab berkaitan liputan berita mereka, katanya dalam satu kenyataan.

"Perkara ini beserta penahanan Raja Petra boleh dianggap sebagai mesej menakutkan bahawa kebebasan asas kita adalah tidak selamat," katanya.

Tiga akhbar berkenaan ialah The Sun, Sin Chew Daily dan Suara Keadilan.

Ambiga berkata jika sesuatu kesalahan telah dilakukan, indivdu terbabit perlu didakwa di mahkamah dan diberi peluang untuk mempertahankan diri.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) turut prihatin dengan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri kepada tiga akhbar berkenaan.

Presiden NUJ, Norila Mohd Daud berkata perkara yang membimbangkan ini akan terus menyekat kebebasan akhbar dan secara tidak langsung menghalang wartawan daripada melaporkan berita yang benar tanpa rasa takut.

"Kesatuan ini merasakan suasana politik sekarang adalah berpunca daripada ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab yang membuat kenyataan mengenai isu sensitif tanpa terlebih dahulu memikirkan implikasinya kepada orang ramai," katanya.

Norila berkata sekiranya ketiga-tiga akhbar berkenaan turut ditutup, nafkah pencarian wartawan dan bukan wartawan yang tidak terbabit dengan isu berkaitan akan juga tertutup.

Tiada ulasan: