Oleh G. MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK
(Dikemas kini, 1200 tengah hari)
PETALING JAYA: Sambil menolak penahanan tiga orang semalam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bertujuan menggagalkan pelan 16 September Pakatan Rakyat, Kementerian Dalam Negeri hari ini menegaskan, sama ada lebih ramai akan ditahan dalam waktu terdekat bergantung pada keadaan semasa negara.
"Polis akan bertindak berdasarkan situasi semasa sama ada situasi berada dalam kedaaan baik ataupun tidak. Jika situasi OK, maka tiada sebab untuk menahan (lebih ramai lagi)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kepada mStar Online.
Kata beliau, pihak polis akan memaklumkannya perkembangan semasa sebelum mengambil tindakan susulan.
Desas-desus menyebut polis kemungkinan akan menahan lebih ramai lagi susulan penahanan tiga orang semalam.
Malah, beliau juga yakin pemberita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kemungkinan akan dibebaskan dalam waktu terdekat.
"Dalam kes wartawan Sin Chew, dia mungkin dibebaskan petang ini, hari ini... dalam waktu terdekat," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.
Syed Hamid berkata, polis menahan wartawan berkenaan atas beberapa sebab, termasuk berdasarkan maklumat mengenai ancaman keselamatan dirinya.
"Jadi polis menahan dia (semalam) untuk mendapatkan beberapa maklumat yang mungkin dia tahu. Selepas itu dia boleh dibebaskan," katanya.
Di bawah ISA, polis akan mengesyorkan kepada Menteri Dalam Negeri sama ada perlu seseorang itu perlu ditahan selama dua tahun atau untuk tempoh yang lebih lama selepas hasil siasatan mereka selesai.
Ketika mengulas lanjut bahawa penahanan tiga orang semalam ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru persekutuan Selasa ini, Syed Hamid: "Tida, ia mengarut."
"Tiada kaitan dengan perkara itu, tiada korelasi dengan itu (pelan Pakatan Rakyat)," kata beliau.
Syed Hamid menjelaskan, penahanan terbaru ini merupakan tindkaan preventif bagi mengawal keadaan semasa.
Kata beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan pencegahan sebelum masalah yang rumit seperti insiden perkauman terjadi.
Semalam polis menahan tiga orang termasuk Tan.
Dua yang lain ialah pengendali lamab web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 58, dan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan