KL POS
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) semalam menarik diri daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee, berkata keputusan dicapai dalam satu mesyuarat khas majlis tertinggi SAPP di sini.
'Majlis Tertinggi SAPP dengan ini mengisytiharkan SAPP tidak lagi menjadi parti komponen BN,' kata Datuk Yong, seperti ditukil Bernama semalam.
'Anggota SAPP yang memegang jawatan dalam kerajaan harus melepaskan jawatan mereka dengan memberi notis sesuai dengan perlembagaan dan peraturan berkaitan, bermula dengan peringkat Kabinet,' jelas beliau kepada pemberita di ibu pejabat SAPP di Luyang.
Datuk Yong berkata BN telah kehilangan 'semangat BN' dan bukan rakyat yang tidak mahukan BN tetapi BN yang meninggalkan rakyat.
Timbalan Presiden SAPP, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, dijangka meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Prasarana Sabah hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, semalam menyatakan rasa kesal di atas keputusan SAPP itu.
'Meskipun ini telah kami jangkakan, namun amat dikesali SAPP membuat keputusan keluar daripada BN. SAPP sejak dulu merupakan sahabat dan penyokong BN,' kata beliau dalam satu kenyataan.
Datuk Musa, yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata parti komponen BN selalu bekerja sebagai satu pasukan demi kepentingan rakyat.
'Umno Sabah dan rakan lain dalam BN akan terus bersama dengan kerajaan dan meneruskan perjuangan bersama,' tegas Datuk Musa. / Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan