HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 September 2008

Tiket raya sudah habis?

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE


JOHOR BAHRU - Bila masa tiket dijual sehingga habis?

Itulah yang menjadi tanda-tanya orang ramai yang ingin membeli tiket bas di Terminal Bas Larkin untuk pulang berhari raya di Pantai Timur akhir bulan ini.

"Rabu lalu, ketika saya datang ke sini untuk membeli tiket mereka kata tiket belum dijual.

"Hari ini (semalam) mereka kata semua tiket ke Pantai Timur sudah habis dijual. Entah iya entah tidak," kata Aminah Mansor, 37

Aminah yang akan menyambut hari raya di Kota Bharu bagaimanapun kesal dan tidak percaya apabila dimaklumkan begitu.

Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati, tiket bas sepanjang seminggu sebelum Aidilfitri ke Pantai Timur telah habis dijual, itupun hanya dijual oleh dua tiga pengusaha bas termasuk Transnasional.

Pengusaha bas lain bagaimanapun hanya mengambil sikap berdiam diri, termasuk memberi alasan 'belum tiba masanya'.

Tiket ke lain-lain destinasi seperti ke utara juga masih belum dijual.

Seorang pekerja kilang, Ijah Alias, 28, yang mahu pulang menyambut hari raya di Butterworth berkata, dia kecewa kerana masih gagal mendapatkan tiket bas sedangkan Aidilfitri hampir tiba.

"Saya hairan tiket masih belum dijual sehingga menyusahkan saya membuat perancangan bercuti," katanya.

Dalam pada itu, Presiden PMBOA, Datuk Mohamad Ashfar Ali semasa dihubungi berkata, pengusaha-pengusaha bas memerlukan sedikit masa untuk melakukan semakan sebelum menjual tiket bas sempena musim perayaan.

"Kerajaan pun baru sahaja mengumumkan surcaj yang boleh dikenakan, oleh itu beri sedikit masa kepada kami untuk melakukan semakan.

"Keadaan ini dapat dielakkan jika kerajaan mengumumkan lebih awal berhubung surcaj berkenaan.

"Saya harap orang ramai dapat bersabar dan pihak kami akan berusaha untuk menyediakan perkhidmatan bas yang mencukupi," katanya.

Tiada ulasan: