HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 September 2008

Umno cawangan minta Mahathir kembali, dilantik Penasihat parti

BERNAMA


LANGKAWI: UMNO Cawangan Kampung Raja dan Atas di Padang Matsirat di sini meluluskan usul meminta mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai semula UMNO untuk menguatkan parti itu sebagai tulang belakang kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

Selain Dr Mahathir, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut diusul menyertai semula UMNO.

Usul itu diluluskan pada persidangan UMNO cawangan itu di Padang Matsirat di sini semalam, kata Ketuanya, Datuk Paduka Abu Bakar Taib pada persidangan akhbar di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, usul itu dibawa oleh anggota cawangan itu, Datin Paduka Zaleha Md Gelam yang turut mencadangkan spaya Majlis Tertinggi UMNO melantik Dr Mahathir sebagai penasihat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata, penyertaan semula Mahathir penting untuk mewujudkan kekuatan dan perpaduan dalam UMNO.

Abu Bakar berkata, selain itu, mesyuarat turut mencadangkan supaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Dr Mahathir sebagai duta untuk menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Dengan pengalaman luas Dr Mahathir dan sebagai negarawan ulung yang dihormati di seluruh dunia, Abu Bakar berkata Dr Mahathir mampu menarik pelabur ke negara ini.

UMNO Cawangan Kampung Kuala Melaka yang mengadakan persidangan yang sama semalam turut menyokong usul yang dibawa oleh Kampung Raja dan Atas.

"Kita mahu mengembalikan kekuatan UMNO dan pemimpin semua peringkat termasuk akar umbi perlu kembali bersatu untuk menguatkan parti", kata ketuanya Fazil Din.

Abu Bakar berkata, semua usul itu akan dibawa ke mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Langkawi yang dijadual bersidang pada Okt ini dan akan dibawa ke peringkat negeri dan ke Perhimpunan Agung UMNO nanti.

Tiada ulasan: