Oleh zabry mohamad
PELABUHAN KLANG - Seramai 12 warga Indonesia mati lemas manakala 125 lagi terselamat selepas tongkang kayu yang dinaiki untuk pulang berhari raya tenggelam di perairan Pintu Gedong, kira-kira 15 kilometer dari Pelabuhan Barat di sini pagi ini.
Ia melibatkan 11 wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an termasuk seorang sarat mengandung manakala yang terselamat terdiri daripada 88 lelaki, 32 wanita, empat kanak-kanak dan seorang bayi berusia lapan bulan.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, tongkang tersebut dipercayai berlepas dari pesisir hutan paya bakau Pulau Che Mat Zain di sini kira-kira pukul 7 pagi menghala ke Tanjung Balai, Sumatera sebelum karam kira-kira 10 minit kemudian.
Berikut kejadian itu, menurutnya, polis telah menahan enam lelaki warga Indonesia yang dipercayai tekong tongkang tersebut.
“Polis menerima panggilan daripada pihak pengurusan Pelabuhan Barat, Westports (M) Sdn. Bhd. mengenai tragedi itu pada pukul 7.30 pagi ini.
“Kumpulan pertama seramai 30 orang berjaya diselamatkan oleh bot tunda manakala selebihnya dengan bantuan kapal tangki,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Kecemasan Westports di sini hari ini.
Tongkang tersebut dipercayai beroperasi secara haram kerana beberapa penumpang mengaku mereka dipaksa bersembunyi di hutan paya bakau sejak pukul 8 malam tadi sebelum menaikinya pagi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan