HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Oktober 2008

Anggota polis lepas 58 das tembakan ke Hospital Bahagia

UTUSAN ONLINE


KUANTAN 3 Okt. - Anggota polis yang melepaskan 58 das tembakan ke udara dan ke arah keretanya serta kereta orang awam akibat tekanan perasaan Rabu lalu dihantar ke Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan hari ini untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, anggota polis berusia 22 tahun dan masih bujang itu dipindahkan dari Hospital Lipis ke pusat rawatan tersebut kira-kira pukul 2 petang.

Menurutnya, polis berharap dengan menjalani pemeriksaan berkenaan dapat membantu siasatan bagi mengetahui punca serta motif suspek melepaskan tembakan tanpa sebab di Kampung Selendang dekat Padang Tengku, Kuala Lipis, Rabu lalu.

"Keputusan menghantarnya ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak dibuat setelah tiada pakar psikiatri di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, gara-gara melepaskan 58 das tembakan ke udara akibat tekanan perasaan, anggota polis itu ditahan bagi membolehkan dia dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Lipis.

Selain melepaskan tiga das tembakan ke arah keretanya sendiri, beberapa kenderaan lain yang berada di kawasan berhampiran turut terkena tembakan tetapi tidak ada kecederaan dilaporkan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di kawasan yang tidak sah.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu, ketika kejadian anggota polis tersebut yang bertugas di Bahagian Am, Balai Polis Simpang Durian, Jelebu Negeri Sembilan dipercayai telah mengambil cuti selama dua hari sebelum hari raya.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti bagaimana suspek boleh sampai ke Kuala Lipis pada hari kejadian dan memiliki senjata jenis revolver dan HK MP5 bersamanya ketika kejadian berkenaan.

Tambah beliau, kebiasaannya seorang anggota polis yang bertugas hanya dibekalkan sepucuk pistol revolver dan 30 butir peluru.

Justeru, tegasnya, persoalan bagaimana anggota polis terbabit boleh memiliki senjata MP5 dan 58 butir peluru perlu dirujuk di balai dia bertugas.

"Setiap balai mempunyai standard dan prosedur yang ditentukan oleh ketua polis daerah masing-masing," jelas beliau.

Tiada ulasan: