Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
IPOH - Bayaran cukai pintu di Bandar Baru Sri Klebang meningkat sebanyak 500 peratus bermula November ini, ekoran penilaian terbaru ke atas hartanah di kawasan itu.
Pejabat Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu kenyataan memberitahu, Lot 186990 hanya dikenakan cukai tahunan sebanyak RM108.80 sebelum ini kerana dinilai sebagai tapak kosong pada 2005.
Menurutnya, tapak itu kemudian telah dimajukan dengan pembinaan sebuah rumah banglo berkeluasan 277.694 meter persegi dan pindaan nilaian ini dibuat berdasarkan nilai tahunan berjumlah RM4,320.
''Nilai tahunan ini diperoleh daripada penilaian sewa berjumlah RM360 sebulan iaitu pada kadar RM1.29 satu meter persegi yang merupakan kadar atas nilaian tahun 1982 kerana kerajaan negeri tidak membenarkan MBI membuat penilaian semula ke atas harta-harta dalam kawasannya," kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, nilai tahunan yang dikenakan oleh MBI ke atas hartanah di kawasan itu masih rendah berbanding dengan nilai semasa.
''Untuk makluman, kadar sewa semasa di kawasan tersebut untuk harta jenis banglo ialah RM800 hingga RM1,500 sebulan.
''Sepatutnya nilai tahunan berdasarkan sewa semasa itu ialah antara RM9,600 hingga RM18,000 tetapi nilai tahunan yang dikenakan oleh MBI ke atas harta ini cuma RM4,320 sahaja," kata kenyataan itu.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan penduduk di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor terkejut apabila menerima notis MBI yang bercadang menaikkan cukai pintu hartanah di kawasan itu bermula 1 November ini.
Sambil melahirkan rasa marah dan kesal, mereka memberitahu, cadangan kenaikan cukai taksiran MBI itu tidak munasabah dan tidak masuk akal.
Penduduk kawasan itu mendakwa mereka sebelum ini hanya membayar cukai taksiran sebanyak RM108.80 setahun tetapi perlu membayar sebanyak RM691.20 setahun bermula 1 November ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan