HALAMAN SANTAI

Rabu, 8 Oktober 2008

Kaunter bas dilontar bom petrol

Oleh OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI - Stesen bas ekspres di Jalan Kuala Ketil di sini nyaris terbakar apabila salah sebuah kaunter tiketnya dilontar dengan bahan api dipercayai bom petrol oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali awal pagi ini.

Kejadian pada pukul 2.15 pagi itu disedari oleh seorang penjual burger, Mohd. Zamri Zahid, 28, yang ketika itu menjalankan perniagaan berhampiran tempat kejadian.

Dia kemudian melaporkan perkara berkenaan kepada pihak polis dan bomba.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan memandangkan ketika kejadian, waktu perkhidmatan di stesen bas terbabit sudah tamat.

Utusan Malaysia difahamkan, kejadian berkenaan mungkin berpunca daripada penumpang yang dikatakan berang ekoran kegagalan ejen tiket menyediakan bas ke beberapa destinasi Pantai Timur seperti yang dijanjikan pada pukul 1 pagi.

Menurut Mohd. Zamri, dia terdengar bunyi letupan berdekatan tempat kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi.

"Saya sangka ia bunyi mercun kerana sudah biasa dengar pada musim perayaan ini.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian, saya lihat api marak di kaunter tiket Srijengka Ekspres," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, awal pagi ini.

Mohd. Zamri memberitahu, para pengunjung tokong yang sedang mengadakan upacara keagamaan sempena perayaan makan sayur berdekatan tempat kejadian kemudian bergegas ke situ untuk memadamkan api.

"Tidak lama selepas itu pihak bomba dan polis tiba. Mereka berjaya mengawal api dalam tempoh yang singkat," katanya.

Kejadian seumpama itu merupakan kali kedua kaunter tiket stesen bas ekspres Sungai Petani diserang oleh para penumpang.

Pada 2 September tahun lalu, stesen bas terbabit kecoh apabila lebih 100 penumpang bertindak melontar batu dan memecahkan kaunter tiket gara-gara bas dijanjikan tidak tiba.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Chok Kuan Lok berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai yang memaklumkan kejadian kira-kira pukul 2.29 pagi.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati kaunter tiket terbabit terbakar akibat nyalaan petrol," katanya.

Katanya, sebahagian besar kaunter tiket bernombor tiga musnah terbakar manakala jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan," katanya.

Tiada ulasan: