HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Oktober 2008

Krisis ekonomi, Najib cuba lepaskan diri?

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub melahirkan persoalan apakah kenyataan Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Malaysia tidak akan menghadapi kemelesetan ekonomi atau terjejas oleh krisis ekonomi global hanya sekadar untuk melepaskan diri daripada cabaran Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim agar Bajet 2009 dibentangkan semula atau kerajaan benar-benar yakin dapat membebaskan negara ini daripada bencana ekonomi global ini?

Jelas Salahuddin, jika Najib mempunyai maksud politik yang terselindung, maka rakyat negara ini kini sedang diancam oleh masa depan ekonomi yang tidak menentu.

Salahuddin memberi contoh, di Amerika Syarikat dan Eropah serta negara-negara maju yang menjadi kuasa ekonomi dan politik dunia sudah tidak berupaya menangani krisis ekonomi ini di mana Amerika Syarikat sendiri telah terjejas dengan teruk.

Salahuddin dalam kenyataannya berkata, keadaan ini sudah tentu memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia kerana negara itu adalah rakan dagangan utama Malaysia.

Tambahnya, amat mustahil untuk mengatakan bahawa kita boleh mengelak daripada kesan-kesan kemelesetan itu, sedangkan kuasa ekonomi yang lebih kukuh di Eropah pun turut terjejas.

"Atas asas apakah sebenarnya Menteri Kewangan memberikan pandangan yang sedemikian rapuh. Ketika krisis kewangan global berlaku pada 1997, Amerika Syarikat hampir tidak terjejas kerana kekuatan ekonomi mereka.

"Tetapi bagaimana nasib rakyat di Amerika Latin ketika itu? Di rantau ini, rakyat Indonesia, Thailand dan Filipina menderita dengan teruk. Bahkan, Malaysia juga telah terjejas dengan teruk sehingga banyak projek terbengkalai, syarikat-syarikat gergasi gulung tikar dan ahli-ahli korporat menjadi muflis. Adakah kerajaan melupai saat-saat genting ini. Ia lebih teruk daripada krisis ekonomi yang berlaku pada 1984,"katanya dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Salahuddin juga mempersoalkan adakah kerajaan mengharapkan krisis ekonomi itu berulang dan Najib akan mengatakan ia sebagai kesan kelemahan kepemimpinan Abdullah Badawi?

"Selicik inikah permainan politik Menteri Kewangan?Kerajaan harus sedar bahawa kejatuhan harga minyak dunia telah memberi kesan yang besar terhadap pendapatan negara kita, walaupun rakyat menikmati penurunan harga minyak.

"Begitu juga kejatuhan harga getah dunia yang memberi kesan langsung kepada rakyat luar bandar yang terlibat dalam industri getah. Minyak dan getah adalah antara komoditi terpenting Malaysia dan ia melibatkan hampir setiap aktiviti kehidupan rakyat. Bagaimana pula kesan berantainya?," soalnya.

Salahuddin menjelaskan krisis tersebut juga akan menjejaskan nilai Dolar Amerika Syarikat dengan teruk dan sudah tentu ia turut melibatka nilai mata wang Malaysia.

Soal Salahuddin lagi, apakah sebenarnya rancangan kerajaan untuk berhadapan dengan krisis tersebut serta jaminan yang boleh diberikan kepada rakyat bahawa kita dapat melepaskan diri dari kemelut global ini. - mks. _

Tiada ulasan: