Reuters
NAIROBI: Lanun di Teluk Aden memperoleh antara AS$18 juta hingga AS$30 juta (RM62 juta hingga RM103.4 juta) sepanjang tahun ini menerusi kegiatan menculik petugas kapal yang melalui kawasan perairan itu, kata kumpulan pemikir British, Chatham House, semalam.
Lanun terbabit merampas lebih 30 kapal di luar perairan Somalia tahun ini menjadikan negara dengan pantai sepanjang 3,300 kilometer itu sebagai antara paling berbahaya di dunia dan mengancam laluan perkapalan penting di perairan di antara Eropah dan Asia.
"Jumlah wang tebusan dibayar pada 2008 mungkin sekitar AS$18 hingga AS$30 juta. Jumlah wang tebusan ini menjadikan kegiatan berkenaan sebagai menguntungkan bagi mereka," kata laporan bertajuk 'Mengancam Perdagangan Antarabangsa, Menaja Perang Tempatan' dihasilkan Chantam House.
Dilaporkan, kumpulan lanun terbabit menuntut wang tebusan antara AS$500,000 hingga AS$2 juta (RM1.7 juta hingga RM6.9 juta) bagi setiap kapal yang dirampas pada tahun ini.
Chatham House juga melaporkan, aktiviti lanun boleh menyebabkan syarikat kapal tidak lagi berani untuk menggunakan laluan laut global utama yang dilalui 20,000 kapal setiap tahun itu selain meningkatkan kos operasi.
Dilaporkan, syarikat kapal kini enggan membenarkan kapal mereka melalui Teluk Aden dan memilih laluan lebih jauh ke Eropah dan Amerika Utara iaitu menerusi Tanjung Harapan.
"Masa tambahan selama beberapa minggu dan penggunaan lebih minyak akan menambahkan kos penghantaran barang. Ketika kos minyak menjadi isu utama ketika ini, apa saja faktor yang menyumbang kepada kenaikan berterusan minyak mesti dianggap isu yang serius," katanya.
Laporan itu menjelaskan kegiatan lanun itu semakin canggih dan membarah kerana tidak banyak usaha dilakukan untuk menanganinya.
Dalam rampasan kapal terbaru, lanun Somalia menawan sebuah kapal Ukraine membawa 33 kereta kebal dan menuntut wang tebusan AS$20 juta.
Lanun berkenaan juga menggunakan Sistem Pertahanan Mudah Alih (MANPADS) selain bom pelontar roket, Sistem Lokasi Global (GPS) dan telefon satelit ketika melakukan serangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan