UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Majlis Peguam dan 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan supaya memandang serius kes penderaan seksual wanita kaum Penan di Sarawak.
Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga berkata, kes itu telah berlarutan sejak 1994 tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil.
Menurutnya, pada 2000, laporan yang sama dibuat kepada Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tetapi masih lagi tiada sebarang tindakan diambil.
"Kerajaan perlu memandang serius dan mengambil tindakan segera kerana kes ini melibatkan isu sensitif.
"Kaum Penan adalah golongan minoriti dan hak asasi mereka perlu dijaga. Kami akan pastikan hak mereka dibela," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ialah Koordinator Pusat Prihatin Orang Asli, Colin Nicholas; Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah dan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia, Yap Swee Seng.
Semalam, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam meminta pelbagai pihak tidak membuat spekulasi mengenai dakwaan badan bukan kerajaan (NGO) negara asing berhubung wanita kaum Penan mengalami penderaan seks oleh pekerja balak di daerah Baram di Miri.
Menurutnya, perkara itu telah diserahkan kepada polis untuk siasatan dan biarlah pihak berkuasa menentukan kesahihannya.
Tabung Bruno Manser (BMF), sebuah NGO berpangkalan di Switzerland sebelum itu mendakwa pekerja balak memperkosa wanita kaum Penan sehingga mereka mengandung.
Menurut Ambiga, Majlis Peguam dan semua NGO terbabit mahu Bukit Aman segera membuat siasatan berkenaan kes tersebut.
"Masyarakat telah hilang keyakinan terhadap polis Sarawak kerana tidak memandang serius kes berkenaan serta mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya," jelasnya.
Sementara itu, Colin berkata, Bukit Aman juga harus memberi perlindungan kepada masyarakat kaum Penan kerana mereka takut untuk memberi kenyataan dan membuat laporan polis.
''Banyak kes tidak dapat disiasat dengan betul menyebabkan ia tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan bukti dan keterangan,'' ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan