HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Oktober 2008

Sultan Pahang harap peruntukan makanan mangsa banjir dinaikkan

BERNAMA


KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berharap peruntukan RM8 sehari yang disalurkan untuk makanan setiap mangsa banjir dinaikkan pada kadar yang munasabah. Baginda bertitah peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu tidak mencukupi berikutan ia meliputi kos makan pagi, tengah hari, petang dan malam.

Malah, titah baginda pembiayaan makanan bagi seorang pendatang asing yang ditahan dan pesalah di dalam lokap juga melebihi RM8 sehari.

"Pada saya peruntukan RM8 sehari ini tidak mencukupi dan saya rasa sedih kita patut bagi lebih RM8 untuk mangsa banjir. Kalau pendatang asing kita boleh bagi lebih RM8 sehari malah ada sesetengah lokap belanja RM10 sehari kenapa tidak untuk mangsa banjir," titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat persediaan menghadapi banjir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini, yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhammad Saffian Ismail.

Sehubungan itu, baginda menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen sebelum 24 Okt ini bagi membincangkan perkara itu.

Sementara itu, Sultan Ahmad Shah berharap kerajaan dapat membina lebih banyak pusat pemindahan tetap di Pahang bagi memudahkan mangsa berpindah setiap kali berlaku bencana banjir.

Pada masa ini kemudahan berkenaan hanya ada di Lamir, Pekan, justeru baginda turut mencadangkan pembinaannya di Temerloh, Rompin, Bera, Lipis, Maran dan Jerantut.

Pusat pemindahan itu juga perlu dilengkapi kemudahan air, elektrik dan tandas bagi membolehkan ia dimanfaatkan dengan pelbagai kegiatan berfaedah oleh penduduk selepas musim banjir berakhir, titah baginda.

Selain itu, Sultan Ahmad Shah juga menasihati rakyat di Pahang agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta berpindah bagi mengelak insiden yang tidak diingini.

Baginda berharap jumlah kematian akibat banjir yang mencecah 11 orang di negeri ini pada tahun lepas dapat dikurangkan.

Tiada ulasan: