MALAYSIA KINI
(kemaskini 4.39pm)
Polis Perak mengesahkan kira-kira sejam lalu bahawa sembilan penunjuk perasaan berjaya ditahan.
Lebih kurang 3,000 penyokong Pakatan Rakyat bersurai beransur-ansur selepas diarahkan oleh seorang pemimpin PAS Perak setengah jam lalu.
kemaskini 4.22pm - Mesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya berlangsung selepas jam 4 petang tadi.
Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin gabungan tiga parti itu.
Mereka dijadual mengadakan sidang media jam 4.30 petang ini, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.
kemaskini 4.17pm - Difahamkan exco kerajaan Kedah, V Arumugam yang dilaporkan "gagal dihubungi" masih bersama PKR.
Kebimbangan tentang "kehilangannya" cepat merebak susulan wujud dakwaan terdapat usaha seumpama Perak sedang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan di Kedah.
kemaskini 4.12pm - Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak selesai selepas bacaan doa mufti Datuk Seri Harussani Zakaria.
kemaskini 4pm - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak, memimpin kerajaan BN yang berjaya menumbangkan Pakatan Rakyat melalui usaha lompat parti.
Seorang AJK PAS Perak dibenarkan menaiki kenderaan polis pencegah rusuhan FRU dan berucap kepada 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di depan Masjid Ubudiah.
Beliau berkata mesej mereka "telah disampaikan ke serata dunia" dan mereka bersurai.
kemaskini 3.55pm - Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir sedang berlangsung dan disiarkan secara langsung melalui TV1.
kemaskini 3.48pm - Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.
Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.
kemaskini 3.36pm - Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.
istana iskandariah kuala kangsar perak 060209Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
kemaskini 3.33pm - Seorang wakil pemimpin PAS, Khalilul Rahman Abdul Samad mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.
Beliau juga seorang pegawai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat yang masih mempertahankan jawatannya dan enggan mengiktiraf penggantinya.
kemaskini 3.25pm - Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.
Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.
kemaskini 3.20pm - Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.
Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.
kemaskini 3.18pm - Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.
Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.
Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.
kemaskini 3.11pm - Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.
Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.
kemaskini 3.08pm - Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.
Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.
kemaskini 3.01pm - Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.
Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan